Sunday, November 30, 2008

Bergembiralah !!! Beruntunglah !!! ..Pada-mu Kader Dakwah



Segala puji bagi Allah yang telah menjadikan kehidupan dan kematian ini sebagai ujian untuk menzahirkan di antara kita siapakah yang lebih baik amalannya(Ahsanu amala). Maha suci Allah yang telah menjadikan malam dan siang silih berganti kepada sesiapa yang ingin mengingati (yadzakkara) kebesaranNya atau kepada sesiapa yang ingin bersyukur (syukuura) terhadap nikmat-nikmatNya . . . .

Ikhwah dan akhawat yang dihormati,
Pada edisi yang lalu kita telah mengetahui – para pembaca – Sesungguhnya dalam Syariah Islamiyyah telah menerangkan secara qat’ie tentang kewajipan kita dalam menyampaikan dakwah dan kefarduan dalam menyampaikannya. Tidak diragukan lagi , sekiranya kita cuba menceburkan diri kita dalam berdakwah kepada Allah sepertimana yang ditetapkan oleh syara’, serta kita menyampaikan risalah Islam sepertimana yang dikehendaki oleh Allah . . Ketahuilah sesungguhnya Allah akan mengangkat diri kita pada tingkatan para Al-abrar, meninggikan kita pada maqam Al-akhyar, serta meneguhkan kita di dunia ini dengan kebaikan dan memuliakan kita di akhirat dengan ganjaran yang besar. Dengan kelebihanNya yang Maha agung, kita akan dihimpunkan bersama para An-nabiyyin, As-siddiqin, As-syhuhada, As-solohin dan mereka inilah sebaik-baik pendamping.

Ikhwah & akhawat ,
Pada edisi kali ini akan mengenetengahkan secara ringkas tentang kelebihan dalam berdakwah serta kelebihan para penyeru kebaikan dan kebenaran. Seperti yang telah kita ketahui, bahawa disana terdapat banyak keterangan daripada Al-quran dan hadith-hadith nabi s.a.w menerangkan tentang kelebihan menyampaikan kebenaran dan melarang kemungkaran, supaya diketahui oleh orang yang ingin mengetahui hakikat bagaimanakah Allah s.w.t memuliakan siapa yang melalui jalan dakwah fi sabilillah.? Bagaimanakah mereka didahulukan dari yang lain? Serta bagaimanakah Allah mengangkat martabat mereka kepada tingkatan yang tertinggi? . . .

1. Para penyeru kebenaran, merekalah sebaik-baik manusia .
Firman Allah s.w.t :
((كنتم خير أمة أخرجت للناس تأمرون با المعروف وتنهون عن المنكر وتؤمنون باالله))

“ Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang ma'ruf, dan mencegah dari yang munkar, dan beriman kepada Allah”(al-imran:110)
2. Para penyeru kebenaran merekalah yang akan menjadi saksi kepada sekalian manusia.
Firman Allah s.w.t :
((وكذالك جعلناكم أمة وسطا لتكون شهداء علي الناس ويكون الرسول عليكم شهيدا))

“Dan demikian (pula) Kami telah menjadikan kamu (umat Islam), umat yang adil dan pilihan agar kamu menjadi saksi atas (perbuatan) manusia dan agar Rasul (Muhammad) menjadi saksi atas (perbuatan) kamu”

Ummah Islam ialah ummah perantaraan yang menjadi saksi pada hari kiamat bahawasanya mereka telah menyampaikan risalah Islam kepada manusia sekalian.

3. Para penyeru kebenaran merekalah memperolehi kejayaan di dunia dan akhirat.
Firman Allah s.w.t :
((والتكن منكم أمة يدعون إلي الخير ويأمرون با المعروف وينهون عن المنكروأولآئك هم المفلحون))
“Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang ma'ruf dan mencegah dari yang munkar merekalah orang-orang yang beruntung.(berjaya).. (Al-imran:104)

Inilah ummah yang menyeru kepada kebaikan, menyeru manusia kapada ma’ruf serta melarang dari yang mungkar. Merekalah ummah yang terselamat daripada kemurkaan Allah s.w.t serta berjaya di dunia dan akhirat.

4. Kalimah yang diucapkan oleh mereka merupakan sebaik-baik perkataan.
Firman Allah s.w.t :
((ومن أحسن قولا ممن دعآ إلي الله وعمل صالحا وقال إنني من المسلمين))

“Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah, mengerjakan amal yang saleh, dan berkata: "Sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang menyerah diri”

Ayat diatas menerangkan, bahawa para penyeru kebenaran merekalah sebaik-baik manusia dalam perkataan. Merekalah penyuluh jalan hidayah yang unggul dan merekalah yang berada di tingkatan yang mulia disisi Allah. Demikian kerana mereka menjadikan berdakwah kepada Allah sebagai jalan mereka yang tertinggi, menyeru manusia kepada agama Allah yang unggul merupakan tujuan mereka yang termulia, serta memimpin risalah Islamiyyah kepada dunia merupakan azam dan tujuan mereka yang tertinggi.

5. Penduduk langit dan bumi sentiasa memohon keampunan kepada penyeru kebenaran.
Riwayat Tarmizi daripada Abi Umamah secara marfu’ … ….

((....إن الله وملائكته وأهل السماوات والأرض حتى النملة في جحرها , والحيتان في البحر ....يصلون على معلم الناس الخير))
“Sesungguhnya Allah s.w.t, malaikatnya, para penduduk langit dan bumi sehingga semut dalam sarangnya dan ikan-ikan dilautan ….berselawat kepada pengajar manusia kebaikan”

As-solah- sepertimana yang diketahui – Selawat daripada Allah merupakan rahmah.
Daripada malaikat merupakan istighfar (doa keampunan), dan daripada manusia (hamba) merupakan doa.

6. Pahala mereka yang menyampaikan kebenaran berterusan dan bersambungan serta tidak terputus.
Sepertimana yang diriwayatkan oleh sohih Muslim dan Ashabu sunan daripadaNya s.a.w – bersabda :

((من دعا إلي الهدى كان له من الأجر مثل أجور من اتبعه لا ينقص ذلك من أجورهم شيئا))


الفترة بعد المجاهدة من فساد الإبتداء



(Lemah semangat selepas bermujahadah hasil daripada permulaan yang buruk)

Dalam kehidupan manusia seharian, terdapat berbagai cabaran dan rintangan yang mengelilingi di sekitarnya pada setiap saat dan detik perlu dilalui. “Nak tak nak” kita semua mesti menempuhinya dalam perbagai bentuk dan keadaan. Bak kata pepatah “Berani hidup bererti berani menempuh segala rintangan”


Bagi memastikan segala cabaran atau ujian yang bakal dihadapi berjaya diatasi dan dikawal, manusia semestinya memiliki semangat (Mujahadah) atau usaha yang digunakan secara maksimum dan berterusan. Namun dalam waktu kita bersemangat terdapat juga kisah-kisah tragis yang sering kita lihat dan dengar yang kadang-kala terjadi pada diri sendiri atau pada orang lain. Sebagai satu contoh, dalam waktu yang seketika , kita pernah berasa begitu bersemangat melakukan sesuatu pekerjaan. Selalunya pada permulaan sesuatu pekerjaan atau amalan. Sebagai contoh kita melihat Si A pada permulaannya bergitu bersemangat menghafal Al-quran, belajar, atau mengulangkaji pelajaran setiap pagi dan petang. Malangnya dalam beberapa bulan, minggu, atau beberapa hari sahaja setiap rutin yang selalu dilakukan oleh Si A ditinggalkan begitu saja bahkan diganti dengan rutin yang sebaliknya seperti membuang masa, bersembang kosong, atau tidak melakukan apa-apa. Setiap hari yang dilaluinya menjadi tawar dan tidak berguna berbeza daripada waktu dipermulaannya.

Fenomena diatas merupakan fenomena yang seringkali terjadi dalam kehidupann manusia baik dalam keadaan sedar atau tidak. Ia bukan hanya terjadi pada golongan pelajar saja, bahkan sering juga terjadi pada pekerja-pekerja yang bekerja dalam segenap sektor pekerjaan. Fenomena Futur ( lemah semangat ) selepas berusaha merupakan satu fenomena yang telah lama dibincangkan oleh para ulama’ du’at sehingga terungkaplah dari mereka satu kata-kata yang singkat, indah lagi bermakna iaitu :

الفترة بعد المجاهدة من فساد الأبتداء
(Lemah semangat selepas bermujahadah hasil daripada permulaan yang buruk)

Sudah menjadi satu sunnah, bahawa sesiapa yang bemula dengan permulaan yang buruk, akan menjadi lemah semangat pada pertengahannya. Maksud dengan permulaan disini ialah niat, niat yang menjadi asas atau tunjang kepada segala harakah (pergerakan) dalam kehidupan. Niat yang baik akan memberi natijah atau impak (kesan) yang positif pada pengamalnya. Seseorang yang ikhlas dalam melakukan sesuatu amalan kerana Allah tidak akan terkesan dengan segala rintangan atau anasir-anasir yang datang menganggunya ditengah perjalanan malah akan tetap terus thsabat dalam melakukannya.

Sebaliknya, niat yang buruk akan memberi kesan yang sebaliknya. Pada permulaannya dilihat memang begitu bersemangat dalam melakukan sesuatu perkara, malangnya ketetapan telah menetapkan bahawa segala niat yang diniatkan kepada selain Allah akan terbantut di pertengahan perjalanannya malah akan hancur segala harapannya serta mengundang kemurkaan Allah S.W.T.

ما كان لله دام واتصل **** و ما كان لغير الله انقطع وانفصل
((Setiap perkara yang dilakukan kerana Allah, akan berterusan dan bersambungan , manakala setiap perkara yang dilakukan bukan kerana Allah akan terputus dan tercerai))


وقدمنا إلى ما عملوا من عمل فجعلناه هباء منثورا

((Dan kami hadapi segala amal yang mereka kerjakan, lalu kami jadikan amal itu (bagaikan) debu yang berterbangan.))

Inilah neraca atau kayu pengukur bagi melihat keikhlasan seseorang itu dalam melakukan sesuatu urusan.sekiranya kita ikhlas dalam melakukan sesuatu amalan, insyaAllah Allah akan mengurniakan kesabaran dan ketetapan hati dalam melakukannya Kepada para pembaca yang budiman, sekarang adalah waktu untuk kita beramal, jangan tunggu-tunggu lagi, berfikirlah sebelum melakukan sesuatu perkara dan sertakan niat yang ikhlas sebelum melakukan sesuatu amalan. Sentiasalah bermuhasabah selepas melakukan sesuatu perkara serta serulah manusia untuk kembali kepada Allah dan kembali menjadikan Islam sebagai cara hidup yang syumul. Ingatlah sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bertakwa dan orang-orang yang berbuat kebaikan dan sesungguhnya Allah tidak akan mensia-siakan amalan hambanya yang Muhsinin (ikhlas).


واللذين جاهدوا فينا لنهدينهم سبلنا وإن الله لمع المحسنين