Saturday, September 26, 2009

Kontemplasi ( Kajian Pemikiran )


Kontemplasi dari segi bahasanya bermaksud proses memikirkan sesuatu perkara secara mendalam .Juga boleh dikatakan sebagai proses penghayatan dan pemahaman diri atas realiti hidup dan kehidupan.Terdapat dua faktor utama yang berperanan dalam kontemplasi yaitu akal dan hati.Akal yang berperanan menerima sesuatu perkara untuk mencari dan mengetahui hakikatnya.Hati pula merupakan kemahuan dan perasaan .Perasaan cinta,sayang,benci,dengki dan lain-lain yang berjalan dibawah petunjuk akal.Misalnya hati suka kepada kebaikan yang ditetapkan oleh akal serta membenci sesuatu keburukan yang telah ditetap atau digambarkan akal padanya.

Ibnu Khaldun mengatakan “ Berfikir atau Fikr ialah gambaran bayang-bayang yang telah diindra – di balik perasaan- dan aplikasi akal di dalamnya untuk membuat analisis dan sintesis (proses menyatukan pelbagai unsur /cara mencari prinsip yg umum drpd prinsip-prinsip yang khusus). – ( Muqaddimah Ibn Khaldun ) –

Menurut Imam Al-Ghazali dalam kitabnya Ihya’ beliau mengatakan : “ Ketahuilah, berfikir itu ialah menghadirkan dua makrifat (pengetahuan) di dalam hati , yang dari keduanya lahirlah pengetahuan yang ketiga” – (Ihya Ulumuddin) –


Ibnu Mas’ud R.A pernah berkata :
“ Hati itu mempunyai keinginan dan penumpuan ,dan (adakalanya pula) ada kelesuan dan kelalaian ,maka pergunakanlah ianya ketika mempunyai keinginan dan penumpuan, dan jauhilah ketika lesu dan lalainya”


Indikator/petanda kontemplasi

Petanda adanya kontemplasi adalah wujudnya tampilan sejumlah pertanyaan dalam diri sebagai bahagian pertama pada setiap tindakan yang dilakukan.Terkadang petanda kontemplasi ini tidak kita temui dalam diri kita kerana kita seringkali mementingkan egoisme,tidak mahu tahu,malas berfikir, serta berperasaan sombong terhadap diri.

Tujuan Kontemplasi

Sepertimana ikhwah & akhawat ketahui bahawa akal dan hati merupakan dua faktor utama dalam kontemplasi yang daripadanya lahirlah pengetahuan hakikat dan penghayatan makrifat.Caroline Reynolds dalam bukunya “Spiritual Fitness” berkata:
“Suatu hari anda akan sampai pada satu kesedaran bahawa anda hanyalah sebuah proses kontemplasi yang sentiasa mencari dalam satu masalah sekaligus ke dalam sebuah penyelesaian .Sehingga pada akhirnya akan menemukan satu jawapan : Kebenaran”

Bagi seorang muslim, kemuncak serta tujuan kontemplasi adalah tercapainya satu hakikat kebenaran yang membawanya kepada Makrifatullah yang tidak lain hanyalah sebuah pengakuan mutlak serta penghambaan secara total (Ubudiyyah) kepada Sang Pencipta.

Al-Imam As-Syahid Sayyid Qutb dalam mentafsir ayat 208-209 surah Al-Baqarah

ياأيها الذين ءامنوا ادخلوا في السلم كآفة ولا تتبعوا خطوات الشيطان إنه لكم عدو مبين *
فإن زللتم من بعد ما جاءتكم البينات فاعلموا أن الله عزيز حكيم *

208. Hai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam keseluruhan, dan janganlah kamu turut langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu.

209. Tetapi jika kamu menyimpang (dari jalan Allah) sesudah datang kepadamu bukti-bukti kebenaran, Maka Ketahuilah, bahwasanya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.

Beliau berkata :

“……..Mereka hendaklah menyerah secara mutlak kepada Allah tanpa meninggalkan sesuatu yang sumbang sama ada berupa fikiran atan perasaan, niat atau tindakan, kegemaran atau ketakutan yang tidak tunduk kepada Allah dan tidak redha dengan ketetapan dan keputusan-Nya. Mereka hendaklah memberi keta’atan dan kepatuhan kepada Allah dengan penuh keyakinan dan kerelaan. Mereka hendaklah menyerah diri mereka kepada qudrat Ilahi yang memimpin langkah-langkah mereka dengan keyakinan bahawa Allah mahukan mereka mendapat kebaikan, pengajaran dan petunjuk, dan dengan keyakinan bahawa mereka sedang menuju ke jalan dan kesudahan yang baik dunia dan akhirat……..

…….Kesan pertama yang dilimpahkan oleh kedamaian ini di dalam hati ialah kesahihan kefahaman dan kepercayaannya terhadap Allah, juga kejelasan dan kemudahan kefahaman dan kepercayaan itu sendiri bahawa Allah Tuhan Yang Maha Esa dan setiap Muslim hanya bertawajjuh kepada-Nya sahaja dengan hati yang teguh dan yakin. Hatinya bulat kepada Allah tanpa dikelirukan oleh berbagai-bagai kepercayaan yang lain. Ia tidak diburu oleh berbagai-bagai tuhan di sana sini seperti di dalam kepercayaan-kepercayaan paganisme dan jahiliyah. Ia hanya bertuhan kepada Allah Yang Maha Esa sahaja dan hanya kepada Allah ia membulatkan hatinya dengan penuh keyakinan, ketenteraman, terang dan jelas……. ( في ظلال القرآن )

*Tambahan * 12/10/09


Firman Allah :

“ Orang-orang yang mengingati Allah (Zikrullah) sambil berdiri atau duduk atau dalam keadaan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata): “Ya tuhan kami,tidaklah engkau menciptakan semua ini sia-sia ,Maha Suci Engkau lindungilah kami dari azab neraka.” (Ali ‘Imran:191)


Proses Kontemplasi Menerusi Zikir & Fikir

Berdasarkan firman Allah SWT diatas dapat kita katakan bahawa seseorang yang ingin mendapatkan sesuatu hakikat atau ilmu perlulah menjalani proses zikir dan fikir. Sepertimana ikhwah & akhawat ketahui bahawa kedua proses ini (Zikir & Fikir) berlaku dalam alam jiwa yang melibatkan hati dan akal yang juga merupakan dua faktor utama dalam proses kontemplasi.

Zikir iaitu dengan mengingati nama-nama serta sifat-sifat Allah akan menghasilkan hidayah yang merupakan petunjuk serta bimbingan Allah SWT.

Begitu juga dengan proses berfikir, para ulama membahagikannya kepada dua , pertama berfikir secara deductive (Istidlal) dan yang kedua ialah berfikir secara inductive (Istiq’ra’) . Berfikir secara deductive ialah proses berfikir dengan membuat rumusan berdasarkan pemerhatian secara umum. Manakala berfikir secara inductive ialah proses berfikir dengan membuat pemerhatian secara lebih khusus , juga termasuk didalamnya ujikaji atau experiment ke atas ciptaan Allah SWT.

Impak daripada kombinasi zikir & fikir kepada seorang muslim /mu’min akan membawanya kepada satu proses kontemplasi serta pemahaman diri keatas hakikat ciptaan Allah (Sann’ullah) yang membuatnya mengakui keagungan ciptaan Allah seraya bermunajat :

“Ya tuhan kami,tidaklah engkau menciptakan semua ini sia-sia ,Maha Suci Engkau lindungilah kami dari azab neraka.”



Rujukan :

Majalah Tarbawi
Kamus Dewan Edisi Ke-3
(المورد) - د. روحي البعلبكي
(في ظلال القرآن) - الإمام الشهيد سيد قطب
(رسالة المسترشدين) - الإمام الحارث المحاسبى
(من الفكر والقلب) - د.محمد سعيد رمضان البوطي
( التجديد في الفكر الإسلامى المعاصر) – د.محمود عبد الله بكار
Tauhid (Menggilap kebebasan jiwa) - Jaafar Bin Muhammad

Tuesday, August 11, 2009

Kenapa Mereka Meninggalkan Halaqah ( Penjelasan, Tambahan & Pembetulan )


Artikel pada kali ini merupakan komen pena pada Saudara Abu Usamah ( Mohd Masri )dlm blognya ,post yg bertajuk " Kenapa Mereka Meninggalkan Halaqah? & Analisa Kes" link :

http://lobaitampin.blogspot.com/2009/08/catatan-dari-daurah-syariyyah-analisa.html

http://lobaitampin.blogspot.com/2009/08/kenapa-mereka-meninggalkan-halaqah.html




Assalamaulaikum …..

Hayyakallah ya Aba Usamah ( Saudara Mohd Masri) ,

Post yang baik, penuh dengan nasihat-nasihat bagi para aktivis dakwah terutamanya di IPT2 baik murabbi atau mutarabbi ( mad’u) . Jauh sekali daripada taasub, serta method nasihat yang general (umum) yg menurut pena, tidak terfocus kepada mana-mana jamaah ( Walaupun dapat pena rasakan siapa mereka) maka sewajarnya kita pandai menyikapi keumuman sesuatu perkara .

Cuma disini pena rasakan perlunya sedikit penjelasan, tambahan, & pembetulan terhadap beberapa point yang diutarakan oleh saudara Mohd Masri . Secara ringkas dan generalnya point-poit yang diutarakan oleh saudara Mohd Masri adalah point yang penting dan perlu diambil perhatian oleh ikhwah & akhawat aktivis sekalian.

Beberapa tambahan,

( العلم قبل العمل) *
“Ilmu / pengetahuan sebelum beramal”

1- Kepentingan Ilmu Syari’e : Ikhwah & akhawat aktivis terutamanya mas’ul wajib mengetahui serta berbekal dengan ilmu-ilmu syari’e sekurang-kurangnya perkara-perkara yang mengcangkupi ilmu fardu Ain, dan beberapa perkara dlm fardu kifayah sebelum bergerak berdakwah kepada masyarakat. Ilmu syar’ie yang merangkumi akidah, tafsir, hadith, fiqh juga ilmu-ilmu akademik yang dipelajari di IPT-IPT yang juga merupakan daripada ilmu-ilmu Islam.
( الإيمان العميق) *
“Ke-imanan yg mendalam”

- Ilmu Aqidah merupakan pengetahuan yang utama dan pertama yang semestinya jelas disisi aktivis-aktivis dakwah secara khusus dan kepada masyarakat Islam secara umumnya.

Diantara buku atau kitab-kitab yang dicadang serta dijadikan rujukan dan input dlm ilmu ini :

- Akidah Tauhid ( Syiekh Dr Soleh bin Fauzan)
- Usul Al-Iman ( Al-Imam Muhammad Abdul Wahab )
- Risalah Al-Aqa’id ( Al-Imam As-Syahid Hasan Al-Banna )
- Kashfu As-Syhubhat (Al-Imam Muhammad Abdul Wahab & syarahnya oleh Dr Soleh bin Fauzan )
- Kitab Tauhid & Kaitan-nya dengan Fakta Sains ( Syiekh Prof Dr Abdul Majid Az-Zindani ) dan lain-lain .

( العقيدة أولا يا معشر الدعاة )*
Akidah adalah perkara utama wahai para aktivis dakwah”

Berdasarkan hadith sohih riwayat Muslim daripada Muaz Bin Jabal ketika-mana Rasulullah SAW mengutus beliau ke Yaman . Perkara pertama yang disuruh ajarkan ialah aqidah iaitu syahadah , kemudian solat, zakat dll ….

Beberapa perkara asas yang perlu diketahui dan difahami oleh aktivis-aktivis ialah priority dalam berdakwah.Persoalannya, apakah perkara utama dan pertama dalam berdakwah kepada masyarakat? Kearah mana kita menyeru? Kepada kefahaman Islam atau …….?...

Akidah merupakan perkara yg terutama yang harus didahulukan oleh para aktivis dalam berdakwah kepada masyarakat. Ini kerana , boleh dikatakan bahawa segala gejala-gejala yang timbul semuanya kembali kepada masalah akidah atau keimanan.

Contoh terdekat , ramainya masyarakat Islam murtad , gejala-gejala sosial yang tidak berkurang, statistik jenayah yang bertambah,. Hasilnya masyarakat bukan Islam makin tidak berminat dengan Islam disebabkan keadaan umat Islam itu sendiri. …dll…..

Hakikatnya , masih ramai aktivis yang mugkin tersalah konsep dalam menentukan priority berdakwah dan tarbiah. Yang amat menghairankan ialah tidak sedikit daripada aktivis-aktivis memperkenalkan jamaah, atau partinya secara mendalam kepada mad’u-mad’u mereka daripada mereka memperkenal serta membetulkan kefahaman Islam itu sendiri. Lebih parah lagi aktivis-aktivis yg meng-involve diri mereka dalam politik, tampak begitu jelas skali keta’assuban serta kecendrungan mereka mengajak masyarakat hanya semata-mata kepada parti mereka demi kepentingan tersendiri serta mengabaikan proses pentarbiahan ahli-ahli , jikalau adapun kebanyakan input-input adalah hanya berkaitan politik. ( mungkin terkesan dengan sistem demokrasi jahiliyyah )

Pena tidak mengatakan bahawa semua aktivis yang melibatkan diri mereka dalam politik adalah seperti diatas, malah kita mengetahui disana ada juga beberapa aktivis yang ikhlas , jauh dari taa’sub serta betul pendiriannya dalam berdakwah. Namun bagi pena, niat yang ikhlas tidaklah mencukupi dalam menjamin kejayaan sesuatu gerakan jikalau method serta manhajnya salah serta tersasar daripada manhaj Rasulullah dan para sahabat ( salafussoleh ).

2- Sedikit pembetulan pada point © yang diutarakan oleh saudara Mohd Masri iaitu “Berfatwa tanpa ilmu” . Saya rasakan perkataan yang lebih tepat ialah “ Mendidik / mengajar tanpa ilmu” . Ini kerana perkataan fatwa atau perbuatan berfatwa hanya layak dikeluarkan & disandarkan oleh para mufti atau para mujtahidin yang mempunyai keahlian dalam bidang masing-masing disamping memenuhi syarat sebagai seorang mufti atau mujtahid seperti mahir dalam bahasa arab, ulum al-quran, hadith, usul fiqh ,ijma’, maqasid syariah dll dan bukan pada orang awam.

Malah ada juga dikalanagn alim ulama yang tidak sampai pada peringkat berfatwa, serta mereka amat takut dalam mengeluarkan sesuatu fatwa . Hakikatnya, kebanyakan orang senang berfatwa, walaupun bukan dalam bidangnya dengan fatwa yang sesat serta menyesatkan. Berdasarkan hadith sohih yang diriwayatkan oleh Bukhari & Muslim yg menceritakan tentang tanda-tanda kiamat diantaranya :

" Tanda kiamat semakin dekat , dihapuskan (dicabut) ilmu (agama) , lalu timbul fitnah ( bencana-bencana/ kekacauan. Di mana-mana dijumpai kebakhilan, serta banyak pembunuhan"

Daripada Abdullah bin Amru Al- Ash beliau mendengar Rasulullah SAW brsabda :


" Allah tidak menghapuskan ilmu (agama) dengan cara mencabutnya dari dada seluruh manusia, tetapi dengan cara mewafatkan para alim ulama. Apabila ulama sudah tiada , ummat manusia akan mengangkat orang-orang bodoh (jahil) menjadi pemimpin mereka , lalu mereka bertanya kepada para pemimpin yg jahil. Si pemimpin memberi fatwa tanpa pengetahuan, menyesatkan kebanyakan manusia, maka sesatlah mereka semua"

Tetapi apabila perkataan ditukar dengan perkataan mengajar/mendidik barulah sesuai dengan tahap kita ( Muqallid Mazhab ) taklid mazhab. Para ulama mengharuskan seseorang (muqallid/ org awam) mengajar dengan apa yang dipelajarinya atau yang dibacanya daripada kitab-kitab kepada selainya, tetapi mereka melarang sama sekali seorang muqallid daripada berfatwa.

Kesimpulannya,
Ikhwah & akhawat aktivis janganlah takut dan segan dalam menghadiri majlis-majlis ilmu yang diadakan walaupun daripada kumpulan yg berlainan. Ikhlas-kan niat , serta bersikap optimis dengan aktivis-aktivis yang berbeza kumpulan atau pendapat dari kita. Jangan pula menghalang seseorang daripada mengikuti majlis-majlis ilmu, serta memaksa mad’u-mad’u mengikuti langkah kita. Perlu diingatkan bahawa kita hanya menyampaikan , dan hasil atau hidayah itu ditangan Allah SWT.

Wallahu a’lam Bissowab .

Rujukan :
صحيح البخاري
شرح نظم الورقات -الشيخ محمد صالح العثيمين
أصول الدعوة - الشيخ د.عبد الكريم زيدان
الوجيز في أصول الفقة - الشيخ د.عبد الكريم زيدان
جامع بيان العلم وفضله - الإمام الحافظ ابن عبد البر القرطبي

Friday, July 31, 2009

Antara Islam & Fikrah Islamiyyah ( Kajian Ringkas dan Rumusan )


Ikhwah & akhawat yang dikasihi Allah,

Akal adalah nikmat Allah yang paling besar kepada manusia, dengan akallah manusia dapat mengerti, memikir, membeza, memahami, membuat kesimpulan , mencipta , dan lain-lain. Dengan akallah meningginya darjat manusia disebabkan oleh sifat kemanusiaan, ilmu dan fikirannya. Ibnu Khaldun mengatakan “ Ketahuilah bahawa Allah Swt membezakan manusia kerana kesanggupannya berfikir, yang merupakan sumber dan puncak segala kemulian dan ketinggian di atas makhluk lain. Penyebabnya adalah adanya pengertian ( Idraak’) yaitu kesedaran dalam diri tentang hal yang terjadi di luar dirinya ….. ..”

Sesuai dengan potensi yang telah Allah berikan kepada manusia , maka secara logiknya manusia haruslah memanfaatkan dan menggunakannya semaksima mungkin demi kemaslahatan dunia dan akhirat.InsyaAllah, dengan rendah diri dan tawadu’ pena merasakan disana terdapat pengetahuan asas yang tidak kurang pentingnya yang seharusnya diketahui dan difahami secara mendalam oleh para aktivis dakwah secara khususnya dalam memperbetulkan kembali kefahaman mereka iaitu “apakah yang dimaksudkan dengan fikrah islamiyyah? …Apakah perbezaan diantara Islam dan fikrah Islamiyyah ? ..Adakah disana terdapat perbezaan diantara keduanya? Atau …….dll….


Ikhwah & akhwat yang dirahmati,

InsyaAllah , secara ringkas dan padat pena akan cuba mengutarakan beberapa takrif dan pengertian terhadap tajuk yang akan kita kupas bersumberkan kepada pandangan-pandangan para ulama’ fiqh & dakwah kontemporari. Perkataan “Fikrah” merupakan perkataan yang tidak asing lagi bagi para aktivis kini , malah ia merupakan perkataan yang sering digunakan oleh para aktivis. Tetapi masalahnya ialah, sejauh-manakah para aktivis memahami dan mengetahui makna tersurat dan tersirat terhadap perkataan tersebut. Hakikatnya , berkemungkinan disana ada mempunyai perbezaan tahap pengetahuan aktivis terhadap perkataan tersebut, malah kenyataanya ada juga diantara aktivis yang tersalah faham dalam mentafsir serta menyikapi perkataan tersebut.(Fikrah)

Takrif ringkas :

(Fikr) : Terdiri daripada huruf-huruf fa’, kaf, dan ra’ dalam bentuk fi’il (kata kerja): fakara ~ yafkiru, ertinya “ Menggunakan akal untuk sesuatu yang diketahui, untuk mengungkapkan sesuatu perkara yang tidak diketahui.”
Dari perkataan fikr lahirnya tafkir yang membawa maksud “Mengfungsikan akal dalam sesuatu masalah untuk mendapatkan penyelesaiannya” - ( Al-Mu’jam Al-Wasiith, Al-Qamus Al-Muhit ) –


Ibnu Khaldun mengatakan “ Berfikir atau Fikr ialah gambaran bayang-bayang yang telah diindra – di balik perasaan- dan aplikasi akal di dalamnya untuk membuat analisis dan sintesis (proses menyatukan pelbagai unsur /cara mencari prinsip yg umum drpd prinsip-prinsip yang khusus).” – ( Muqaddimah Ibn Khaldun ) –

Menurut Imam Al-Ghazali dalam kitabnya Ihya’ beliau mengatakan : “ Ketahuilah, berfikir itu ialah menghadirkan dua makrifat (pengetahuan) di dalam hati , yang dari keduanya lahirlah pengetahuan yang ketiga” – (Ihya Ulumuddin) –


Pengertian Fikrah Islamiyyah :

Sepertimana yang diketahui di atas bahawa istilah( fikr ) ialah menggunakan akal terhadap sesuatu perkara serta mengfungsikannya, tetapi apabila perkataan fikr diikat dan disandarkan dengan perkataan Islam ,maka ia bermaksud “ Penggunaan / fungsi akal seorang muslim dalam mentafsir /menggambarkan Islam ,yang bersumberkan kepada Al-quran dan Sunnah, …. Pandangan yang dikeluarkan oleh akal seorang muslim yang seterusnya membawa kepada makna “Fikrah Islamiyyah”.

Secara ringkasnya boleh juga dikatakan “Kefahaman ummat Islam serta pemerahan pemikiran mereka terhadap risalah-nya (Islam)” – ( Tajdid Fikr Islamiy Dr Muhsin Abd Hamid)-

Perbezaan antara Islam dan Fikrah Islamiyyah :

Daripada pentakrifan di atas kita dapat mengetahui bahawa pengertian Fikrah Islamiyyah adalah berbeza dengan pengertian Islam itu sendiri. Islam yang merupakan agama yang bercirikan thabat (tetap) dan syumul (menyeluruh) berbeza sama sekali dengan Fikrah Islamiyyah yang bersifat harakah (bergerak/tidak tetap).

As-Syeikh Muhammad Al-Ghazali rahimahullah dalam kitabnya “ Laisa Minal Islam” mengatakan :
“Sesungguhnya Fikrah Islamiyyah bukanlah Islam , tetapi ia merupakan ciptaan akal/ ijtihad muslimin pada jalan Islam. Islam pula merupakan wahyu ilahi yang bersifat ma’sum ( aman dari kesalahan ) kepada Rasulullah, dan Fikrah Islamiyyah pula perkara yang diadakan /dicipta, tertunduk kepada kanun perubahan , manakala Islam pula bagi-nya kitab :

لا يأتيه الباطل من بين يديه ولا من خلفه تنزيل من حكيم حميد
“Yang tidak datang kepadanya kebatilan baik dari depan maupun dari belakangnya, yang diturunkan dari Rabb yang Maha Bijaksana lagi Maha Terpuji.”
(Fussilat : 42 )

Fikrah Islamiyyah tidaklah ma’sum daripada kesalahan dan kelemahan, manakala Islam pula bersifat ma’sum (aman dari kesalahan,kecacatan,& kelemahan) secara keseluruhannya . Kitab Islam (al-quran) baginya segala kesucian dan baginya hak ketaatan secara mutlak terhadap orang-orang beriman ,manakala Fikrah Islamiyyah pula tidaklah diwajibkan taat kepadanya kecuali apa yg bertepatan dengan al-quran dan sunnah (risalah) . Ini kerana Fikrah Islamiyyah tertunduk kepada kritikan dan bangkangan. Perbezaan diantara Islam dan Fikr Islamiyyah adalah sepertimana berbezanya apa yg ada pada Allah, dan apa yang ada pada manusia ………”

Sepertimana kata-kata Imam As-Syahid Hassan Al-Banna dalam usul 20-nya :

Usul ke-2 :
- Bagi seorang Muslim, Al-Quran dan hadis adalah menjadi sumber untuk mengetahui hukum-hukum Islam. Al-Quran difahami menurut kaedah-kaedah bahasa Arab, dengan tidak memberat dan meringankan. Hadis pula difahami melalui periwayat-periwayat hadis yang dipercayai.

Usul ke-6 :
- Perkataan seseorang boleh diterima atau ditolak, kecuali perkataan Rasulullah (s.a.w) yang bersifat maksum. Perkataan para solihin yang dahulu (salaf soleh) mesti kita terima jika bersesuaian dengan Al-Quran dan hadith. Jika tidak, maka Al-Quran dan Hadithlah ikutan kita yang utama,

Usul ke-18 :
- Islam membebaskan akal, mendorong supaya memerhati dan mengamati alam semesta. Islam menjunjung tinggi kedudukan ilmu dan ulama’. Mengalu-alukan sesuatu yang baik dan bermanfaat. Hikmah adalah merupakan suatu barang yang hilang dari seorang mukmin, di mana saja beliau mendapatinya beliaulah yang lebih berhak memilikinya.

Satu contoh ringkas yang dapat dilihat di medan dakwah kini ialah wujudnya pelbagai method , fikrah , dan pendekatan seperti disana para aktivis dapat menemui ada dikalangan aktivis yang berfikrah Salafi , Ikhwani, Tabligi, Hizb Tahrir ,dan lain-lain mengikut kecendrungan masing-masing kepada method pendekatan tertentu dalam berdakwah yang menunjukan kepada tabiat Fikrah Islamiyyah yang berbeza dan bergerak dalam lingkungan berpegang kepada Al-quran dan Sunnah .

Ikhwah & akhawat sekalian,

Kesimpulannya ialah makna Fikrah Islamiyyah berbeza sama sekali dengan makna Islam itu sendiri, dari segi usulnya yang merangkumi Al-Quran dan Sunnah yang sohih. Para aktivis seharusnya memahami serta dapat membezakan diantara keduanya supaya kefahamnya tidak tercampur-baur yang seterusnya membawa kepada pertembungan akal manusia terhadap wahyu ilahi.



Wallahu A’lam Bissowab ……

Rujukan Asas :

ليس من الإسلام - شيخ محمد الغزالي
نظرات في رسالة التعليم ـ محمد عبد الله الخطيب
التجديد في الفكر الإسلامى المعاصر - د.محمود عبد الله بكار



Tuesday, July 21, 2009

Kualiti Vs Kuantiti ( Kajian Ringkas)


Segala puji bagi Allah SWT yang memuliakan ahli-ahli Iman daripada makhluk-Nya, yang menghina ahli-ahli maksiat dengan kehinaan yang nyata. Hanya kepada Allah sajalah segala ketinggian kekuasaan-Nya diatas segala ciptaan-Nya , yang memberikan An-Nasr (Kemenangan) kepada golongan-golongan yang beriman kepada-Nya dalam keadaan mereka yang sedikit, serta menghina dan mengalahkan golongan-golongan batil dalam keramaian mereka. Selawat dan salam kepada penghulu Al-Anbiyaa’ Muhammad SAW , yang menghadapi kaum-kaum kafir dalam keadaan-Nya yang lemah atau kuat dengan penuh thiqah dan thabat , rasul yang menggoncang araysh-araysh (kedudukan) para ahli batil dan menghancurkannya hanya dengan beberapa orang sahabat yang Ikhlas. Dengan kekuatan Iman dan taqwa , bukanlah dengan kekuatan tubuh-badan mereka, dengan berkumpulnya hati-hati dan jiwa yang suci , bukan terkumpulnya jiwa dan tubuh-tubuh yang kering seperti kayu , dengan kehebatan dan kemurnian akhlak , bukan dengan kehebatan dan kecanggihan senjata , dengan banyaknya kebaikan-kebaikan yang disemai , bukan dengan banyak dan ramainya ahli.



Firman Allah SWT :

(( الله ولي الذين ءامنوا يخرجهم من الظلمات إلي النور *والذين كفرواأولياؤهم الطاغوت يخرجهم من النور إلي الظلمات أولـئك أصحاب النار هم فيها خالدون ))
(( Allah pelindung orang-orang yang beriman; dia mengeluarkan mereka dari kegelapan (kekafiran) kepada cahaya (iman). dan orang-orang yang kafir, pelindung-pelindungnya ialah syaitan, yang mengeluarkan mereka daripada cahaya kepada kegelapan (kekafiran). mereka itu adalah penghuni neraka; mereka kekal di dalamnya.))
– Al-Baqarah : 257 -

(( ولله العزة ولرسوله وللمؤمنين ولـكن المنافقين لا يعلمون ))
(( Hanya bagi Allah-lah kekuatan / kemulian serta bagi rasul-Nya dan bagi orang-orang mukmin, tetapi orang-orang munafik itu tiada Mengetahui.)) –Al-Munafiqun :8 -

(( وكان حقا علينا نصر المؤمنين ))
(( Dan benarlah, kami selalu berkewajiban menolong orang-orang yang beriman. ))
– Ar-Rum : 47 -

إن الله يدافع عن الذين ءامنوا * إن الله لا يحب كل خوان كفور
(( Sesungguhnya Allah membela orang-orang yang beriman. Sesungguhnya Allah tidak menyukai tiap-tiap orang yang berkhianat lagi mengingkari nikmat.)) – Al-Hajj :38 -

وعد الله الذين ءامنوا منكم وعمل الصالحات ليستخلفنهم في الأرض كما استخلف الذين من قبلهم وليمكنن لهم دينهم الذي ارتضى لهم وليبدلنهم من بعد خوفهم أمنا ، يعبدونني لا يشركون بي شيئا * ومن كفر بعد ذلك فأولـئك هم الفاسقون
((Dan Allah Telah berjanji kepada orang-orang yang beriman di antara kamu dan mengerjakan amal-amal yang saleh bahwa dia sungguh- sungguh akan menjadikan mereka berkuasa dimuka bumi, sebagaimana dia Telah menjadikan orang-orang sebelum mereka berkuasa, dan sungguh dia akan meneguhkan bagi mereka agama yang Telah diridhai-Nya untuk mereka, dan dia benar-benar akan menukar (keadaan) mereka, sesudah mereka dalam ketakutan menjadi aman sentosa. mereka tetap menyembahku-Ku dengan tiada mempersekutukan sesuatu apapun dengan Aku. dan barangsiapa yang (tetap) kafir sesudah (janji) itu, Maka mereka Itulah orang-orang yang fasik.)) – An-Nur :55 -

كم من فئة قليلة غلبت فئة كثيرة بإذن الله ، والله مع الصابرين
((orang-orang yang meyakini bahwa mereka akan menemui Allah, berkata: "Berapa banyak terjadi golongan yang sedikit dapat mengalahkan golongan yang banyak dengan izin Allah. dan Allah beserta orang-orang yang sabar.")) – Al-Baqarah :249 -

Daripada tasawwur (Perspective) Islam yang Syaamil (Comprehensive),sistem pensyariatan-Nya yang dinamik ,dan petunjuk-petunjuk daripada Al-quran dan hadith yang Mulia, kita mendapati bahawa Islam mementingkan aspek kualiti daripada kuantiti (bilangan) .Yang perlu mendapat perhatian kita bukanlah banyak dan besarnya sesuatu perkara, tetapi kualiti dan jenis perkara tersebut . Ini kerana nilai atau intipati sesuatu perkara bukan diukur dengan ramai atau banyak bilangannya .

Al-quran amat mencela golongan-golongan majoriti (ramai) apabila dalamnya hanya diisi oleh orang yang tidak berakal , tidak berilmu, tidak beriman dan tidak bersyukur . Sepertimana Firman Allah SWT :

بل أكثرهم لا يعقلون
"... akan tetapi kebanyakan mereka tidak memahaminya."
(al-Ankabut: 63)


(( ولكنِِِّ أكثر الناس لا يعلمون ))
"... akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui."
(al-A'raf:187)

(( ولكنّ أكثر الناس لا يؤمنون ))
"... akan tetapi kebanyakan manusia tidak beriman."
(Hud:17)

(( ولكنّ أكثر الناس لا يشكرون ))
"... akan tetapi kebanyakan manusia tidak bersyukur."
(al-Baqarah: 243)

(( وإن تطع أكثر من في الأرض يضلوك عن سبيل الله ))
"Dan jika kamu menuruti kebanyakan orang-orang yang di
muka bumi ini, niscaya mereka akan menyesatkanmu dari
jalan Allah..
." (al-An'am: 116)

Pada masa yang sama, Al-quran memberikan pujian kepada golongan-golongan minoriti (sedikit) apabila mereka beriman , beramal, dan bersyukur .

Firman Allah SWT :
(( إلا الذين ءامنوا وعملوا الصالحات وقليل ما هم ))
"... kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan
amal shaleh; dan amat sedikitlah mereka ini..."

(Shaad:24)

(( وقليل من عبادي الشكور ))
"... dan sedikit sekali hamba-hamba-Ku yang bersyukur.” (Saba’:13)

(( واذكروا إذ أنتم قليل مستضعفون في الأرض ))
"Dan ingatlah (hai para muhajirin) ketika kamu masih
berjumlah sedikit lagi tertindas di muka bumi..."

(al-Anfal: 26)

Oleh itu , tidaklah penting jumlah kuantiti manusia yang ramai ,akan tetapi perkara terpenting yang perlu dijadikan keutamaan ( priority) ialah kualiti sesuatu perkara tersebut iaitu Syakhsiyyah Islamiyyah (Moslem Personality) yang beriman dan beramal solih . Namun tabiat manusia lebih senang atau suka kepada kuantiti , keramaian atau jumlah sesuatu perkara dan suka menonjolkanya , tetapi malangnya kita tidak banyak melihat dan memperhatikan apa yang ada disebalik jumlah yang banyak itu, dan apa yang terkandung dalam angka-angka tersebut .

Ciptalah senjata secanggih manapun , senjata tersebut tidak akan berguna kecuali kepada seorang yang pandai menggunakanya , buatlah apa-apa undang-undang sekalipun , undang-undang tersebut tidak akan berguna sekiranya ia hanya ditulis di kertas perlembagaan tanpa adanya seorang yg melaksanakannya , tubuhkanlah apa-apa pertubuhan yang mempunyai pelbagai lajnah-lajnah atau sistem tarbiyyah tertentu ,ia tidak akan berguna ,dan tidak akan bermaya kecuali wujudnya ahli-ahli yang berkemampuan dan berkualiti bertindak melaksanakannya. Inilah hakikat yang dikatakan dan ditafsir oleh waqie’ (Reality) keadaan semasa .

Sesungguhnya pena ingin menegaskan kembali kepada para pembaca yang dikasihi Allah sekalian , bahawasanya nilai atau intipati kekuatan sebenarnya bukanlah terletak pada kecanggihan sesuatu senjata yang dipakai oleh tentera tersebut. Hakikat keadilan bukanlah terletak pada undang-undang yang tertulis di perlembagan yang dihafal oleh hakim tersebut, hakikat-hakikat tarbiyyah tidaklah terletak pada helaian-helaian kitab yang dibaca atau dihafal oleh seseorang, serta hakikat melaksanakan tindakan –tindakan bukanlah dengan menubuhkan lajnah-lajnah mengikut kadar semangat ahli-ahli persatuan tersebut. …… … …. Oleh itu apakah hakikat atau nilai intipati serta keutamaan (priority) setiap perkara dalam tasawwur (perspective) Islam…………?

InsyaAllah , di sini pena tidak bercadang untuk menerangkan secara terperinci nilai intipati atau keutamaan pada setiap perkara. Kepada para pembaca yang ingin mengetahuinya secara terperinci bolehlah membacanya di kitab “Fiqh Aulawiyyat” hasil karangan Allamah Dr Yusouf Al-Qhardawi , Al-Marhum Dr fathy Yakan dan lain-lain . Cuma disini , pena hanya akan mengfokuskan kepada nilai intipati serta hakikat sesuatu pergerakan secara umumnya dan kepada syakhsiyyah atau peribadi pemuda (Rijal) secara khususnya .

Kepentingan Syakhsiyyah Islamiyyah (Moslem Personaity) yang Berkualiti :

أمنية عمرية “Impian Umar Al-Khattab R.A.”

Bahwasanya pada suatu hari beliau duduk bersama sebagian sahabatnya di sebuah rumah temannya, kemudian beliau berkata kepada mereka, “ Impikanlah” Seorang pemuda berkata: " Aku mengimpikan jika sekiranya negeri ini dipenuhi dengan emas lalu aku infakkan pada jalan Allah." Umar berkata lagi: "Impikanlah". Seorang pemuda berkata: "Aku mengimpikan jika negeri ini dipenuhi dengan batu permata lalu aku infakkan pada jalan Allah." Umar berkata lagi: "Impikanlah". Mereka berkata: "Kami tidak tahu apa yang hendak dikatakan wahai Amirul Mukminin" Umar pun berkata: "Tetapi aku mengimpikan Rijal seperti Abu Ubaidah bin al Jarrah, Muaz bin Jabal dan Salim, hamba Abu Huzaifah. agar aku dapat mempergunakan mereka untuk berjuang di jalan Allah"

Amru ibnu Ash pernah dihantar oleh Saidina Umar Al-Khattab membawa tentera untuk menakluki Mesir yg ketika itu dikuasai oleh Rom . Beliau (Amru ibn Ash ) secara personalnya meminta kepada Saidina Al-Khattab tentera tambahan kerana bilangan tentera Rom yang begitu ramai dan ganas mengasak tentera Islam ketika itu . Maka , tidaklah Saidina Umar menghantar sepuluh ribu, tidak pula lima ribu, atau seribu orang tentera tambahan , tetapi beliau hanya mengirimkan empat orang komando-nya , setiap seorang komandonya merangkumi kadar kekuatan seribu orang tentera .. …….. !!!!!

Pada zaman yang serba mencabar kini, jumlah kaum muslimin sedunia telah melebihi 1 per 4 milion jiwa. Malangnya kesan daripada penyakit-penyakit yang menimpa Ummah Islamiyyah ini menyebabkan nilai seorang muslim atau seorang mukmin (Believer) dimata masyarakat seperti buih-buih dilautan (Ghusa’a As-Sail) yang tiada nilainya sepertimana yang digambarkan oleh sabda Nabi SAW :

(( يوشك أن تداعى عليكم الأمم كما تداعى الأكلة علي قصعتها...قالو : أمن قلة نحن يومئذ يا رسول الله ؟ قال : " إنكم يومئذ كثير، ولكنكم غثاء كغثاء السيل. ولينزعن الله المهابة من صدور أعدائكم وليقذفن في قلوبكم الوهن" قالو وما الوهن يا رسول الله ؟ قال " حب الدنيا وكراهية الموت")) - رواه أحمد والترمذى
“ Akan datang pada suatu masa , musuh-musuh kamu akan datang berkerumun kepada kamu , sepertimana berkerumunya mereka kepada satu hidangan (yang lazat) , Mereka (sahabat) pun berkata: “Adakah bilangan kami ketika itu sedikit wahai Rasulullah ?”, Rasulullah pun berkata: “Bahkan kamu ketika itu ramai , tetapi kamu seperti buih-buih dilautan (tiada nilai) dan Allah akan mencabut perasaan gerun di hati musuh-musuh kamu dan Allah akan mencampakkan kedalam hati kamu penyakit Al-Wahn .” Sahabat pun bertanya : “Apakah penyakit Al-Wahn itu wahai Rasulullah ?” Rasulullah pun bersabda : “Cintakan dunia dan bencikan mati”
(Riwayat Ahmad & Tarmizi)

Hadith di atas menerangkan kepada kita bahawasanya jumlah (kuantiti) yang banyak belum cukup, apabila jumlah ini hanya kelihatan megah diluar , tetapi lemah dari dalam ,sepertimana yang dianalogi kan seperti buih-buih dilautan (Ghusa’a As-Sail) yang tiada nilai kualiti malah identitinya. Kehilangan tujuan dan jalan yang benar; dan benar-benar seperti buih yang terbawa arus air .

كذلك يضرب الله الحق والباطل ،فأما الزبد فيذهب جفاءً ، وأمّا ما ينفع الناس فيمكث في الأرض كذالك يضرب الله الأمثال
Demikianlah Allah membuat perumpamaan (bagi) yang benar dan yang bathil. adapun buih itu, akan hilang sebagai sesuatu yang tak ada harganya; adapun yang memberi manfaat kepada manusia, Maka ia tetap di bumi. Demikianlah Allah membuat perumpamaan-perumpamaan – Ar-Ra’d:17 -

*Allah mengumpamakan yang benar dan yang bathil dengan air dan buih atau dengan logam yang mencair dan buihnya. Yang benar sama dengan air atau logam murni. Yang bathil sama dengan buih air atau tahi logam yang akan lenyap dan tidak ada gunanya bagi manusia.

Hakikat dan nilai intipati peribadi seseorang itu tidaklah diukur dengan tinggi tubuhnya , kuat ototnya , berani, atau hebatnya memukul manusia dan cantik wajahnya . Semua ini adalah hal-hal yang berada di luar intipati dan hakikat kemanusian . Tubuh manusia pada akhirnya tidak lain hanyalah bungkus dan instrumennya, sedangkan hakikatnya ialah akal dan hatinya.

Allah SWT memberikan penjelasan berkenaan dengan sifat-sifat orang munafik sebagai berikut:

"Dan apabila kamu melihat mereka, tubuh-tubuh mereka
menjadikan kamu kagum..."
(al-Munafiqun: 4)

Dia juga pernah memberikan sifat kaum 'Ad, melalui lidah
nabi-Nya, Hud a.s.:


"... dan Tuhan telah melebihkan kekuatan tubuh dan
perawakanmu..."
(al-A'raf: 69)

Akan tetapi sesungguhnya kelebihan kekuatan tubuh itu
menjadikan mereka takabbur dan menyombongkan diri, sebagaimana
difirmankan oleh Allah SWT:


"Adapun kaum Ad maka mereka menyombongkan diri di muka
bumi tanpa alasan yang benar dan berkata, "Siapakah yang
lebih besar kekuatannya daripada kami?..."
(Fushshilat: 15)

Demikian pula hakikat seorang muslim dan mu’min :……. … ..

" المسلم من سلم المسلمون من لسانه ويده , والمهاجر من هجرما نهي الله عنه "
Seorang muslim adalah sesorang yang dapat memelihara lidah , dan tangannya daripada menyakiti muslim yang lain , dan hakikat seorang yang berhijrah itu ialah , meninggalkan perkara yang dilarang oleh Allah SWT.
-Riwayat Bukhori-

لا يؤمن أحدكم حتي يحب لأخيه ما يحب لنفسه
“ Tidak beriman seseorang kamu selagi ia tidak mengasihi saudaranya, sama seperti ia mengasihi dirinya sendiri”

" ليس الشديد با الصرعة إنما الشديد الذي يملك نفسه عند الغضب "
“Tidaklah dikatakan kuat seseorang itu dengan kuatnya ia bergusti, tetapi makna kuat itu pada siapa yang dapat mengawal dirinya ketika marah”
- Muttafaqun Alaih -
"عجبا لأمر المؤمن إن أمره كله له خير، وليس ذلك لأحد إلا للمؤمن : إن أصابته سراء شكر فكان خيرًا له، وإن أصابته ضراء صبر فكان خيرًا له"
"Amat mengherankan sekali keadaan orang mu'min itu, sesungguhnya semua
keadaannya itu adalah merupakan kebaikan baginya dan kebaikan yang sedemikian itu tidak akan ada lagi seseorangpun melainkan hanya untuk orang mu'min itu belaka, yaitu apabila ia mendapatkan kelapangan hidup, iapun bersyukur, maka hal itu adalah kebaikan baginya,sedang apabila ia ditimpa oleh kesukaran - yakni yang merupakan bencana ia pun bersabar dan hal ini pun adalah merupakan kebaikan baginya."
(Riwayat Muslim)

(( والمؤمنون والمؤمنات بعضهم أولياء بعض ، يأمرون باالمعروف وينهون عن المنكر ويقيمون الصلاة ويؤتون الزكاة ويطيعون الله ورسوله ، أولـئك سيرحمهم الله ، إن الله عزيز حكيم ))
“Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka (adalah) menjadi penolong bagi sebahagian yang lain. mereka menyuruh (mengerjakan) yang ma'ruf, mencegah dari yang munkar, mendirikan shalat, menunaikan zakat dan mereka taat pada Allah dan Rasul-Nya. mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.” – At-Taubah :71 –


Ini pula merupakan hakikat kepada makna seorang mukmin dengan mukmin yang lainya yaitu :
(( إنما المؤمنون إخوة فأصلحوا بين أخويكم والتقوا الله لعلكم ترحمون ))
“Orang-orang beriman itu Sesungguhnya bersaudara. sebab itu damaikanlah (perbaikilah hubungan) antara kedua saudaramu itu dan takutlah terhadap Allah, supaya kamu mendapat rahmat.” – Al-Hujraat :10 –

Disana terdapat banyak lagi nash-nash daripada Al-quran dan Hadith mengenai hakikat ciri-ciri seorang muslim dan mukmin , dan kelebihan orang-orang yang beriman . Para pembaca bolehlah merujuk kitab-kitab hadith dan tafsir untuk tambahan .

Wallahu'a'lam bissowaab !!!!

Saturday, July 4, 2009

Antara Wasail dan Maqasid - Perbincangan , Kritikan & Rumusan -


…Pena amat terkejut apabila terbaca satu artikel di dalam sebuah blog yang ditulis oleh seorang pelajar Malaysia di mesir yang kononnya mewakili sebuah persatuan yang terbesar disana iaitu PMRAM secara khususnya dan mewakili parti politik Islam (PAS) secara umumnya. Beliau , pada pandangan pena secara zahirnya mempunyai niat yang baik, dan soleh dalam bercakap tentang kepentingan kesatuan Ummah Islamiyyah dan perpaduan, namun disana ada beberapa perkara dinyatakan beliau bagi pandangan pena merupakan kenyataan yang kurang tepat dan kurang adil dalam bercakap tentang kesatuan Ummah dan kepelbagaian Jamaah .

Beliau dengan senang sekali menghujam jemaah-jemaah Islam yang lain seperti JIM, ISMA, ABIM dan lain-lain walaupun pada artikel beliau, beliau menyatakan bahawa artikel yang ditulis beliau bukan untuk menghujum mana-mana jamaah , dengan berkata :

“Artikel ini bukan untuk menghujum mana-mana jemaah baik dari JIM, ABIM, ISMA, NADI UMNO dan Agen-Agen tertentu. Artikel ini merupakan kewajipan setiap muslim memperbetulkan kesilapan dan mengubah perkara-perkara jahat dan mungkar sebagaimana sabda Nabi s.a.w di atas. Ia merupakan kewajipan dan satu tuntutan agar umat Islam mesti bersatu padu.”

Beliau dengan berani dan yakin mengatakan bahawa jemaah-jemaah di atas mengutamakan matlamat dan halatuju mereka dengan mengambil pendekatan ta'adud tudhod dan tanaqud (berlawanan dan bertentangan).

Disini pena ingin menyoal “ Apakah yang dimaksudkan dengan ta’adud tudhod dan tanaqud itu ?” .. Sekiranya jamaah-jamaah diatas telah melakukan ta’adud tudhod sila nyatakan apakah yang telah mereka lakukan.? .. Adakah mereka mengajak kepada selain daripada Islam? Atau hanya berlakunya perbezaan dari segi uslub dan pendekatan dalam berdakwah kepada Islam?

Hakikatnya , berkemungkinan beliau tidak dapat membezakan diantara wasilah dan maqasid atau beliau kurang bijak dalam berinteraksi dengan kepelbagaian dakwah dan jamaah . Sekiranya perbezaan berlaku pada pendekatan, uslub, atau wasail, itu merupakan perkara yang fitrah , normal dan biasa bagi sifat-sifat manusiawi yang berbagai yang dikira sebagai ta’adud tanawwu’ ( pelbagai) dan bukan ta’adud tudhod sepertimana yang dimaksudkan oleh beliau. Perbezaan pendapat merupakan fitrah manusia , dalam menentukan sesuatu perkara. Diantara sebab lahirnya kepelbagaian dakwah & jamaah ialah :




- Perbezaan & kepelbagaian dalam memahami nash-nash ,dan pelbagainya ijtihad-ijtihad dalam mentafsir sesuatu nash-nash yang boleh berijtihad padanya ( bersifat dzonni) serta cara bertindak dengannya pada waki’e terkini.




- Hilangnya / terhapusnya sistem khilafah Islamiyyah yang menyatukan segala sumber kekuatan ummah, yang menyatukan saf-saf. Dengan sebab inilah terbuka dan terbentangnya majal (ruang) dihadapan ummah Islamiyyah bangun menutup lubang-lubang kecacatan yang terjadi disebabkan hilangnya sistem khilafah.




- Wujudnya kepelbagaian dalam manhaj-manhaj, uslub-uslub serta pendekatan dalam berdakwah.




- Berbezanya ijtihad-ijtihad/pandangan dalam menentukan priority sesuatu perkara , priority di sesuatu tempat dll.




- Pelbagai serta berbezanya kemampuan-kemampuan aktivis-aktivis dalam medan dakwah.


InsyaAllah disini pena akan mengemukakan beberapa kaedah dalam mewujudkan kembali kesatuan Ummah Islamiyyah serta perpaduan Imaniyyah daripada beberapa ulama’ kontemporari , diantaranya :

وحدة الصف لا وحدة الرأى *
( Kesatuan dalam satu barisan/ saf-saf, dan bukan kesatuan pandangan dan pemikiran)

Ini merupakan satu hakikat yang jelas pada setiap jiwa-jiwa yang muslim . Tapi masalahnya ialah cara beramal atau cara mengimplikasikannya. Kita dapat melihat disana terdapat beberapa peribadi yang terlalu ghairah terhadap agama, dan amat bersemangat dalam isu perpaduan/ kesatuan, tetapi mereka tidak mempunyai method atau cara yang betul dalam mengajak kepada kesatuan/perpaduan. Akibatnya , beliau secara sedar atau tidak menginginkan manusia supaya bersatu dibawah perkiraannya, pendapatnya, pilihannya dan ijtihadnya. Ini merupakan perkara yang tidak akan berlaku atau diistilahkan ulama’sebagai perkara yang mu’tadzir. Yang dimaksudkan dengan persatuan/perpaduan dalam saf atau barisan ialah , kesatuan Ummah Islamiyyah di bawah kekuasaan yang satu yang berhukum dengan syariat Allah SWT, berdiri dalam satu sof pada setiap perkara yang mengembalikan ketuanan Islam, aqidah Islamiyyah dan keizzahan Ummah.Maka kesatuan/perpaduan Ummah adalah pada usul syar’iyyah yang sahih, bukan persatuan/perpaduan pada sesuatu pemikiran, ijtihad yang khusus daripada seseorang peribadi atau mana-mana kelompok.

* الإجتمع لا يكون إلا علي قبول الإختلاف
( Kesatuan tidak akan wujud / tidak akan berlaku, kecuali dengan menerima perbezaan pendapat)

Sehingga dalam institusi keluarga pun berlakunya perbezaan pendapat diantara suami istri dan anak-anak . Cubalah ikhwah dan akhawat bayangkan apabila berada dalam satu institusi jamaah yang lebih besar !!!!

الخلاف وارد في الوسائل دون المقاصد *
( Perkara yang boleh dikhilafkan /berbeza hanya pada wasail (cara, uslub & pendekatan) bukan pada maqasid ( objektif asas dan usul ) .

Sepertimana yang ikhwah & akhawat ketahui , bahawa berdakwah kepada Allah merupakan daripada maqasid Syar’iyyah (objektif Syara’) yang disepakat padanya. Ummah Islamiyyah bersepakat terhadap kewajipannya dan diantara kandungannya Fardu Ain & Fardu Kifayah .

إختلاف تنوع ، لا إختلاف تضاد *
( Perbezaan yang pelbagai (lengkap- melengkapi) bukannya perbezaan berlawanan dan bertentangan )

Perbezaan yang diharuskan dan boleh di-ikhtilafkan ialah ikhtilaf tanawwu (pelbagai/lengkap-melengkapi) . Disana terdapat fardu-fardu kifayah , ada kelompok yang berdakwah kepada Allah dalam menyampaikan risalah Islam di medan politik, ada pula kelompok yang lain yang menyeru kepada makruf dan mencegah kemungkaran di medan pendidikan , ada pula yang berdakwah di medan iqtisad (ekonomi), ada pula kelompok yang Allah pilih dan menggunakan mereka untuk berjihad mengorbankan nyawa mereka kepada Allah SWT.

Syariah dan agama tidak terkumpul & tersimpul pada seseorang peribadi. Ia semestinya merangkumi dan terkumpul pada ummah Islamiyyah secara keseluruhannya. Kefahaman serta ijtihad-ijtihad seseorang bukanlah wahyu, madrasah-madrasah fiqhiyyah atau harakiyyah tidaklah menggambarkan Islam secara keseluruhannya. Sepertimana kita juga harus mengetahui tentang kesyumulan agama Islam bukanlah bermakna kesyumulan seseorang peribadi muslim.

Hakikatnya , sering kita terdengar ada beberapa kelompok , jamaah atau parti-parti politik yang membawa logo serta motto Islam mengklaim jamaah atau parti mereka menggambarkan Islam secara keseluruhannya, jamaah yang selain daripada jamaah-nya merupakan jamaah yang melawan Islam. Naudzubillahi min dzaalik !!!!!

Satu contoh yang amat mudah ialah didalam madrasah mazhab fiqhiyyah : Imam Malik, Imam Syafi’e, Imam Ahmad , Imam Abu Hanifah, dan lain-lain terhasil daripada ijtihad-ijtihad tertentu yang tersandar kepada al-ashl ( Al-quran & Sunnah). Tetapi ada dikalangan mereka yang tersalah , dan ada yang betul dalam berijtihad. Taa’sub merupakan satu perkara yang hina dalam menerima sesuatu perkara daripada seseorang atau jamaah, menerima baik buruknya kerana kita suka kepadanya, atau kita akan cuba mempertahankannya walaupun salah kerana kita terlalu menyukainya.

جماعة من المسلمين لا جماعة المسلمين *
( Jamaah daripada Muslimin, bukan Jamaah Muslimin )

Al-Imam Ad-Daie Dr Fathy Yakan Rahimahullah dalam kitabnya Nahwa Shohwah Islamiyyah Fi Mustawa Al-Asr نحو صحوة إسلامية في مستوى العصر
amat tegas sekali dalam mengislah permasalahan dakwah dan harakah yang membawa kepada kesalahan, kelembapan serta pertembungan didalam medan dakwah iaitu setiap kelompok kumpulan yang mengajak kepada Islam mengklaim jamaah mereka menggambarkan Islam , dan mewakili secara keseluruhannya Jamaah Muslimin, bukan jamaah daripada Muslimin. Perkara sebegini menurut beliau akan menimbulkan kepada ghulu , tatharruf, & Istikbaar, serta setiap kumpulan jamaah akan cuba untuk menjatuhkan jamaah-jamaah yang lain.

Sepertimana yang terjadi dan dinyatakan oleh beliau ini ( Pelajar Malaysia di Mesir ) :
“Realiti ta’adud jemaah di Mesir, di sini terdapat hampir lebih 70 buah jemaah atau persatuan anak Melayu saling tidak bersatu, mementingkan pendapat dan hala tuju masing-masing. Tidak boleh bersatu dibawah satu naungan (PMRAM). Hanya beberapa buah Badan Kebajikan Anak-anak Negeri (BKAN) dan Dewan Perwakilan Mahasiswa (DPM) sahaja yang bernaung di bawah (PMRAM). Jadi dengan point-point di atas, tiada lagi alasan untuk jemaah baru seperti JIM, ABIM, ISMA, NADI UMNO dan Agen-Agen tertentu wujud dan bertapak di bumi Mesir ini. Ada yang beralasan mad’u kita ramai, sudah pasti memerlukan banyak jemaah. Ya benar, perlu kepada jemaah yang banyak. Persoalannya kenapa tidak boleh bersatu bersatu dibawah satu naungan iaitu PMRAM?”

Pena merasakan beliau ini berkemungkinan tidak dapat menerima perbezaan pendapat, atau beliau tidak dapat membezakan antara ikhtilaf (perbezaan pendapat) dan tafarruk (perpecahan) atau beliau tidak dapat membezakan antara wasail-wasail ijtihadi dan maqasid . Wallahua’lam !!!

Al-Imam As-Syafi’e rahimahullah ketika berhadapan dengan seseorang yang berbeza pendapat dengannya dalam beberapa masalah-masalah ilmiyyah fiqhiyyah beliau senang sekali mengatakan :
“ Sesungguhnya aku tidak akan berkata kepada seseorang yang berbeza pendapat dengan-ku pada masalah-masalah ilmiyyah fiqhiyyah : “ Bertaubatlah engkau kepada Allah”, ini kerana taubat itu berlaku pada perkara-perkara dosa, tapi ini adalah manusia diantara satu pahala (al-ajr) atau dua pahala (Ajraain).”
–Perkara ijtihadi –

Beliau itu ( Pelajar Malaysia di Mesir ) ada juga menyatakan bahawa :

“Apabila dipatahkan hujah mereka maka berbunyilah suara-suara yang tidak ilmiah “anda berjuanglah dengan dalil anda, kami berjuang dengan dalil kami” beginikah cara golongan intelek berdepan dengan kebenaran? Sepatutnya menerima dan berubah kearah yang lebih baik dan matang. Dasar perjuangan anda yang tertutup ini saya yakin kebenaran tidak akan datang menemui anda kerana anda menolak kebenaran. Saya berhak katakan “Hujah anda Vs Hujah Islam”.”

Beliau dengan berani dan yakin mengatakan “Hujah anda Vs Hujah Islam”. Atau beliau akan mengatakan , “beliau tidaklah mengatakan menurut pemikirannya atau pendapatnya,tetapi ini adalalah manhaj Allah SWT, & ini adalah hukum Allah SWT” .

Pena hanya dapat mengatakan “Subhanallah !!!” ketika terbaca kenyataan diatas. Adakah jamaah-jamaah yang lain mengambil hukum serta dalil-dalil daripada kitab Taurat atau kitab Injil ?!! Atau daripada kitab samawi yang lain, atau daripada falsafah-falsafah dll. Sesekalinya tidak!!!Sesekalinya tidak !!!! Semuanya mengambil dalil daripada Al-quran dan Sunnah , tetapi boleh jadi maknanya boleh ditafsirkan dengan berbagai tafsiran, ijtihad dll. (Dalil-dalil Dzanni yang membawa lebih daripada satu makna dan tafsiran) .

Al-Imam Ibn Qayyim rahimahullah berkata dalam kitabnya I’laam Muwaqq’iien :
“ Tidak harus seseorang itu ketika mana mengutarakan ijtihadnya, dan tidak mendapat apa yg dituntut oleh nash daripada Allah dan Rasulnya berkata : “ Sesungguhnya Allah mengharamkan ini, Allah mewajibkan ini, Allah mengharuskan ini, sesungguhnya ini adalah hukum Allah”

Juga sepertimana Al-Imam Ibn Taimiyyah rahimahullah berkata :
“ Tetapi kebanyakan manusia menisbatkan/menyandarkan apa yang mereka katakan kepada syara’, tetapi bukanlah daripada syara’, tetapi mereka tetap mengatakan sedemikian mungkin kerana kejahilan, mungkin juga tersalah ,mungkin juga sengaja, dan mungkin juga mempermain-mainkan syara”
– Majmu’ Fatawa -

Akibat daripada keadaan yang berlaku sebegini ialah, kebanyakan jamaah , parti, dan pribadi-pribadi senang mentafsir dan menggunakan nash-nash untuk kepentingan masing-masing serta meletakkan-nya bukan pada tempatnya. Kesemuanya menggunakan nash-nash untuk mengatakan kewajipan mengikuti jamaahnya , partinya,tandzimnya, atau kumpulannya yang khusus.

Hakikatnya , ini merupakan satu penyelewengan dalam mentafsir hadith Nabawi yang menunjukkan/menerangkan tentang menyeru ummah Islamiyyah untuk bersatu dibawah satu sulthoh (kekuasaan) yang Amm (umum) yang disepakati oleh Ummah
( Thawabit) kepada kesatuan dibawah jamaah atau kumpulan yang tidak disepakati (Ikhtilaf).

Berkemungkinan kita mempunyai perasaan tanggungjawaban yang melampaui batas, seakan-akan kitalah orang yang bertanggungjawab terhadap ummah, terhadap manusia, terhadap dakwah, terhadap ilmu, yang seterusnya membawa kita kepada terlalu mengawasi segala gerakan serta perbuatan orang lain. Lebih malang lagi , kita terlalu atau amat ghairah terhadap kesalahan-kesalahan yang dilakukan oleh selain daripada kita yang seterusnya membawa kita kepada menghujum, serta berani menghukum sesuatu pribadi atau jamaah menurut pandangan kita yang jahil, lemah dan terbatas.

نحن دعاة لا قضاة*
( Kita adalah pengajak/penyeru mendakwah , bukanlah penghukum)

Ikhwah & akhawat sekalian,

Kita hanyalah disuruh menyeru & berdakwah kepada manusia, bukan untuk menghukum mereka. Ini kerana , yang menghukum dan penghukum-Nya ialah Allah SWT.
Nabi Isa Alaihissalam berkata :

لا تكثروا الكلام بغير ذكر الله فتقسوا قلوبكم، فإن القلب القاسي بعيد من الله ، ولكن لا تعلمون ، ولا تنظروا في ذنوب الناس كأنكم أرباب ، وانظروا في ذنوبكم كأنكم عبيد ،فإنما الناس مبتلىً ومعافىً ، فارحمو أهل البلاء واحمدوا الله على العافية

“Janganlah kamu perbanyakkan bercakap selain daripada zikirullah,maka keraslah hati kamu, Sesungguhnya hati yang keras itu jauh sekali dari Allah, tetapi ramai yang tidak mengetahuinya. Janganlah kamu melihat dosa-dosa/ kesalahan manusia seperti kamu itu tuhan-tuhan, tapi lihatlah kepada dosa /kesalahan-mu seperti seorang hamba, kerana manusia ada yang diuji dan diselamatkan / diampunkan , Kasihlah kamu kepada Ahlul bala’ ( org yg ditimpa bala) dan pujilah Allah terhadap keselamatan”
- Dikeluarkan oleh Imam Malik dalam Mawatta’ -

Berkata Yahya bin Muadz :

ليكن حظ المؤمن منك ثلاث خصال : إن لم تنفعه فلا تضره ،وإن لم تسره فلا تغمه ، وإن لم تمدحه فلا تذمه
“ Jadikanlah bagi Mukmin bagi-mu tiga bahagian :Sekiranya engkau tidak memberi manfaat kepadanya, maka janganlah engkau menyakitinya/memudharatkannya, sekiranya engkau tidak membahagiakannya, maka janganlah engkau sedihkannya, dan sekiranya engkau tidak memujinya, maka janganlah engkau mencelanya”
- lihat Sifattus As-Soffwah-

Bersikap Optimis & Berfikiran Positif dalam Melaksanakan Dakwah

Kesimpulannya ialah , ikhwah & akhawat aktivis sekalian hendaklah bersikap lebih optimis dan positif dalam menangani permasalahan serta kerja-kerja dakwah kini. Kita melaksanakan dakwah dengan ikhlas kerana Allah. Dengan itu segala amal yang dilaksanakan pasti diberi ganjaran oleh Allah setimpal dengan niat kita. Maka kita hendaklah optimis terhadap ganjaran Allah.

Kita melaksanakan dakwah secara berjamaah, dengan suasana ukhuwwah , mahabbah dan kekuatan kumpulan. Walaupun kita melaksanakan dakwah melalui saluran-saluran organisasi tertentu , kita hendaklah sedar bahawa tugas-tugas ini juga sedang dilaksanakan oleh pendukung-pendukung dakwah yang lain. Sejauh mana kita yakin bahawa kita ikhlas melaksanakan dakwah , demikian juga kita mesti yakin bahawa mereka juga ikhlas berdakwah kepada Islam.

Dengan itu kita tidak bersendirian melaksanakan dakwah. Walaupun dalam wadah-wadah yang berlainan , tetapi matlamat kita adalah satu. Keyakinan bahawa aspirasi suci ini (mendaulatkan Islam) dikongsi oleh suatu bilangan pendukung dakwah yang besar sekaligus mewajibkan kita sentiasa bersifat optimis dalam menggarap segala permasalahan dakwah semasa.

Ikhwah & akhawat yg dikasihi,
Suka untuk pena tegaskan berkali-kali bahawa agama merupakan asal usul aqidah Islamiyyah tidak berbeza dan berbagai. Kebenaran ( Al-haq) dinisbatkan kepada Allah SWT merupakan kebenaran yang satu dan tidak berbagai. Namun pandangan Al-haq (kebenaran) apabila dinisbatkan kepada para mujtahidin dan manusia umum adalah berbeza dan pelbagai (betul/salah).

Akhir kalam,

Wahai jamaah-jamaah Islam, saling melengkapilah diantara satu sama lain atau tidak akan tertegak Syariah Islamiyyah didunia ini. ….. …!!!!!!!!

Wallahu A’alam Bissowab ……..

Rujukan Asas:

الأمة الواحدة د. سلمان فهد العودة
ولا يزالون مختلفين د. سلمان فهد العودة
الثوابت والمتغيرات في العمل الإسلامى المعاصر د.صلاح صاوى
التعددية الدعوية دراسة منهجية شاملة د.معاذ بن محمد أبو فتح البيانوني





Thursday, June 11, 2009

Berjuang Itu Pahit Kerana Syurga Itu Manis ( Leave Sin & Enjoy Your Life ) Bahagian ( 1 )


Ikhwah & akhawat yang dikasihi Allah SWT ,

Dunia ini adalah tangga atau jambatan kita menuju akhirat. Ia adalah satu terminal persinggahan yang akan menghantar kita menuju kehidupan akhirat. Ia juga hanyalah fasa-fasa kehidupan yang harus dilalui sebelum sampai ke negeri akhirat.Ia hanya hari-hari yang sedikit dan tiada makna dan harga jika dibandingkan dengan kehidupan selepasnya. Di dalamnya terdapat segala sesuatu, pahit & manis , suka & duka, permusuhan & perdamaian, kawan & lawan, gembira & kesedihan, hidup & mati, susah & senang dan segalanya terkumpul didalamnya. Begitu juga hakikat kehidupan dan kematian di dunia ini hanyalah ujian untuk menzahirkan diantara kita siapakah lebih baik amalannya ( Ahsanu amala) disisi Allah SWT disamping membezakan diantara hamba-Nya yang benar atau dusta .

Firman Allah SWT :
قل متاع الدنيا قليل والآخرة خير لمن التقى
Katakanlah: "Kesenangan di dunia Ini Hanya sebentar dan akhirat itu lebih baik untuk orang-orang yang bertakwa,… (An-Nisaa : 77)

الذي خلق الموت والحياة ليبلوكم أيكم أحسن عملا
Yang menjadikan mati dan hidup, supaya dia menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya…. ( Al-Mulk :2 )

 آلم * أحسب الناس أن يتركوا أن يقول ءامنا وهم لا يفتنون * ولقد فتن الذين من قبلهم فليعلمن الله الذين صدقوا وليعلمن الكاذبين
Alif laam miim * 2. Apakah manusia itu mengira bahwa mereka dibiarkan (saja) mengatakan: "Kami Telah beriman", sedang mereka tidak lagi diuji? * 3. Dan Sesungguhnya kami Telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, Maka Sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan Sesungguhnya dia mengetahui orang-orang yang dusta.
-Al-Ankabut :1-3 –

Ikhwah & akhawat aktivis sekalian ,

Pada kali ini , pena ingin menegaskan bahawa risalah ini bukanlah hanya semata-mata gambaran atau hanya satu pengetahuan beku yang hanya bermain di benak pemikiran yang hanya dikira sebagai “pengetahuan” semata-mata. Tapi apa yang diharapkan adalah lahirnya satu mekanisma“harakah”( tindakan) disebalik pengetahuan yang menjadi satu lonjakan amal dalam merialisasikan-nya mengikut keadaan waki’e terkini. Risalah yang perlu dibaca dan ditadabbur , bukanlah semata-mata untuk dihafal atau di sampaikan . Ini kerana risalah pada kali ini , insyaAllah akan menyingkap beberapa hakikat terpenting dalam kehidupan seorang muslim secara umunya serta menyingkap hakikat perjuangan & perjalanan para aktivis dakwah secara khususnya.
Dunia yang tidak lebih dari selonggok bangkai dan sayap nyamuk , sepertimana yang digambarkan oleh Rasulullah SAW dan para Sahabat. Kerana-nya Rasulullah SAW mengajar kita bagaimana melihat serta menyikapi kehidupan dunia secara wajar dan telus. Demikianlah hakikat serta perspektif Islam ( manhaj Islamy) dalam memandang kehidupan dunia, dan persoalan yang harus dilontarkan pada setiap aktivis ialah “ Apakah penyelesaian terhadap kehidupan dunia ini? …& .. Bagaimanakah aktivis harus menempuhinya ?”

Jawapannya di dalam Al-Quran :

من عمل صالحا من ذكر أو أنثى وهو مؤمن فلنحيينه حياة طيبة ولنجزينهم أجرهم بأحسن ما كانوا يعملون
((Barangsiapa yang mengerjakan amal saleh, baik laki-laki maupun perempuan dalam keadaan beriman, Maka Sesungguhnya akan kami berikan kepadanya kehidupan yang baik dan Sesungguhnya akan kami beri balasan kepada mereka dengan pahala yang lebih baik dari apa yang Telah mereka kerjakan.))
- An-Nahl :97 -

ومن أعرض عن ذكري فإن له معيشة ضنكا ونحشره يوم القيامة أعمى
((Dan barangsiapa berpaling dari peringatan-Ku, Maka Sesungguhnya baginya penghidupan yang sempit, dan kami akan menghimpunkannya pada hari kiamat dalam keadaan buta".))
- Thaha: 124 -

Ayat di atas jelas menerangkan bahawa ke-imanan dan amal yang soleh merupakan penyebab dan sebab bagi kehidupan yang baik dah sumber kebahagiaan. Ke-kufuran dan amal yang toleh pula penyebab kepada kemurkaan, kegelisahan dan kesengsaraan.

Ikhwah & akhawat sekalian,

Kita semua mengetahui bahawa perjuangan dakwah dan aktivis itu amat berat, sulit, penuh dengan ujian, tentangan dan sarat dengan godaan-godaan yang menyesatkan. Ini kerana, kemungkaran, maksiat serta isme-isme jahiliyyah bertebaran di sana-sini sehingga tidak lagi dianggap sebagai kemungkaran. Hasilnya ialah , ada diantara aktivis yang semangat dakwahnya menurun, tidak thabat (tetap) di atas jalan dakwah, dangkal pemikirannya, menjadi keras dan gelisah hatinya, kurang ilmunya , serta lebih malang lagi ialah ramainya manusia lari daripadanya. Naudzubillah Min Dzaalik ..!!!!

Ketahuilah ikhwah & akhawat sekalian , segalanya adalah disebabkan oleh maksiat dan dosa-dosa yang berterusan dilakukan oleh aktivis tersebut sehingga dia tercampak ke dalam lubang fitnah dan noda. Al-Imam Ibnu Al-Qayyim Rahimahullah dalam kitabnya “Al-Fawaaid” meringkaskan kesan-kesan serta impak maksiat terhadap seseorang dengan berkata : “ Di antara kesan-kesan maksiat ialah pelakunya tidak banyak mendapat petunjuk , fikirannya rungsing, ia tidak dapat melihat kebenaran dengan jelas, hatinya rosak, daya ingatannya lemah, waktunya berlalu dengan sia-sia, dibenci manusia, hubungannya dengan Allah renggang, doanya tidak dimakbulkan, hatinya keras, keberkatan pada rezki dan umurnya musnah ,diharamkan mendapat ilmu, hina, dihinakan musuh, dadanya sempit, diuji dengan teman-teman jahat yang merosakkan hati, dan menyia-nyiakan waktu, sentiasa cemas berpanjangan, sumber rezekinya seret,dan hatinya tergugah. Maksiat dan kelalaian membuat seseorang lupa berzikir kepada Allah, sebagaimana tanaman tumbuh kerana air dan kebakaran terjadi kerana api”

Al-Imam Al-Harith Al-Muhasibi yang merupakan diantara para tokoh wara’ dan zuhud menyifatkan bahawa kesan-kesan dosa yang terjadi kepada seseorang itu puncanya adalah daripada kecintaan dunia, sepertimana yang dirakamkan beliau pada kitab “ Risalatul Mustarsyidiin” : “ Ketahuilah saudara bahawa dosa itu mewarisi kelalaian dan kealpaan, kelalaian pula mewarisi kekerasan, kekerasan itu membawa kepada berjauhan dari Allah dan berjauhan dari Allah itu menghumbankan dirimu ke dalam api neraka. Hanya jiwa yang dapat menyedari dan memikirkan tentang perkara ini ialah jiwa yang masih hidup , adapun jiwa yang telah mati maka sesungguhnya ia telah mati dengan kecintaan dunia” ………..

Firman Allah Azzawajalla :
وما الحياة الدنيا إلا متاع الغرور
Kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah kesenangan yang memperdayakan.
- Al-Imran:185 -

قل متاع الدنيا قليل والآخرة خير لمن التقى ...
Katakanlah: "Kesenangan di dunia Ini Hanya sebentar dan akhirat itu lebih baik untuk orang-orang yang bertakwa, dan kamu tidak akan dianiaya sedikitpun.
- An-Nisaa’:77 -

وما الحياة الدنيا إلا لعب ولهو
Dan tiadalah kehidupan dunia ini, selain dari main-main dan senda gurau belaka
(Maksudnya: kesenangan-kesenangan duniawi itu hanya sebentar dan tidak kekal. janganlah orang terperdaya dengan kesenangan-kesenangan dunia, serta lalai dari memperhatikan urusan akhirat.)
- Al-An’am:32 -

المال والبنون زينة الحاة الدنيا ...
Harta dan anak-anak adalah perhiasan kehidupan dunia …..
- Al-Kah’fi:46 -

إنما أموالكم وأولادكم فتنة....
Sesungguhnya hartamu dan anak-anakmu hanyalah cobaan/ujian (bagimu)…
- At-Taghabun: 15 -

Sabda Rasulullah SAW :
الدنيا سجن المؤمن وجنة الكافر
Dunia ini adalah penjara bagi orang Mukmin dan syurga bagi orang kafir
( Riwayat Muslim )

حب الدنيا رأس كل خطيئة
Cinta dunia merupakan kepala segala kesalahan.
( Dikeluarkan oleh Ibn Abi Dunya dan Al-Baihaqy)

ازهد في الدنيا يحبك الله وازهد فيما عند الناس يحبك الناس
Zuhudlah engkau terhadap dunia, nescaya Allah kasihkan engkau dan zuhudlah terhadap apa
yang ada pada manusia, nescaya manusia akan mengasihimu.
(Hadis riwayat lbnu Majah dan lain-lain dengan sanad-sanad yang baik)

إن العبد ليحرم الرزق بالذنب يصيبه
Seorang hamba diharamkan mendapat rezeki kerana dosanya
( Riwayat Ibnu Majah & Ahmad)

حفت الجنة بالمكاره وحفت النار بالشهوات
Syurga dikelilingi dengan segala yang tidak disenangi hawa nafsu, dan neraka dikelilingi oleh segala yang disukai hawa nafsu
( Riwayat Muslim )

يوشك أن تداعى عليكم الأمم كما تداعى الأكلة علي قصعتها...قالو : أمن قلة نحن يومئذ يا رسول الله ؟ قال : " إنكم يومئذ كثير، ولكنكم غثاء كغثاء السيل. ولينزعن الله المهابة من صدور أعدائكم وليقذفن في قلوبكم الوهن" قالو وما الوهن يا رسول الله ؟ قال " حب الدنيا وكراهية الموت"
“ Akan datang pada suatu masa , musuh-musuh kamu akan datang berkerumun kepada kamu , sepertimana berkerumunya mereka kepada satu hidangan (yang lazat) , Mereka (sahabat) pun berkata: “Adakah bilangan kami ketika itu sedikit wahai Rasulullah ?”, Rasulullah pun berkata: “Bahkan kamu ketika itu ramai , tetapi kamu seperti buih-buih dilautan (tiada nilai) dan Allah akan mencabut perasaan gerun di hati musuh-musuh kamu dan Allah akan mencampakkan kedalam hati kamu penyakit Al-Wahn .” Sahabat pun bertanya : “Apakah penyakit Al-Wahn itu wahai Rasulullah ?” Rasulullah pun bersabda : “Cintakan dunia dan bencikan mati”
(Riwayat Ahmad & Tarmizi)

Pernah ditanya kepada seorang generasi salafussolih “ Apakah pelaku maksiat itu merasakan manisnya ketaatan?” ….Beliau menjawab : “Tidak, orang yang ingin bermaksiat juga tidak merasakannya”
Ikhwah & akhawat yang dirahmati ,

Ketahuilah , sesungguhnya kemaksiatan yang dilakukan lebih-lebih lagi daripada seorang aktivis sebenarnya berpengaruh pada perjalanan dan gerakan dakwah. Apalagi jika kemaksiatan itu tergolong dari dosa-dosa besar atau dilakukan aktivis yang berada di peringkat qiyaadah (kempimpinan), atau tidak dicegah secara keseluruhannya oleh gerakan dakwah. Kemaksiatan yang dimaksudkan oleh pena bukan hanya kemaksiatan-kemaksiatan yang terlihat / zahir , tetapi merangkumi kemaksiatan-kemaksiatan batin yang tidak terlihat. Kadang kita bisa melihat diri kita pada lahirnya tampak sebagai seorang yang salih taat kepada Allah SWT . Sementara dalam hati dan batin kita tersimpan tumpukan dosa dan kemaksiatan batin yang bisa membinasakan segala kebaikan lahir kita.

Kesimpulan pada kali ini ialah gerakan-gerakan dakwah dan aktivis-aktivis haruslah berwaspada terhadap dosa-dosa dan kemaksiatan. Para qiadah (kepimpinan) haruslah membersihkan hati-hati mereka serta berusaha semaksima mungkin membersihkan hati-hati para aktivis dibawah mereka, disamping menghamburkan benih-benih ke-ikhlasan dan ke-taqwaan . Kerana keikhlasan dan ketakwaan sajalah yang mampu menyelamatkan kita daripada kesesatan dan bahaya fitnah.

Abdullah bin Mas’ud berkata : “Janganlah kalian berdoa dengan mengatakan : “ Ya Allah aku berlindung kepadamu dari berbagai ujian hidup.” Kerana tak seorangpun daripada kalian terhindar dari ujian. Allah sudah mengatakan . “Sesungguhnya harta dan anak kalian adalah fitnah (ujian)”, maka mohonlah perlindungan kepada Allah daripada kesesatan dan bahaya fitnah” … …. ..

Al-Imam As-Syahid Syed Qutb menjelaskan hakikat dunia serta kemenangan hakiki dalam kitabnya “Petunjuk Sepanjang Jalan” dengan berkata :
“Kehidupan dunia yang dibumbui oleh berbagai-bagai jenis keadaan dan
suasana: berupa kelazatan, keseronokan, kesakitan, kebahagiaan beroleh suatu,
kekecewaan kehilangan sesuatu, bukanlah merupakan nilai yang paling mahal di
dalam neraca pertimbangan. Kehidupan dunia lahiriah ini bukanlah merupakan
faktor yang boleh menentukan nilai menang atau kalah, untung atau rugi.
Kemenangan hakiki bukanlah selama-lamanya bererti kemenangan lahiriah, yang
nampak dipandang oleh mata kasar; sebab kemenangan yang nampak disaksikan
oleh mata kasar dan panca indera lahir itu adalah hanya salah satu bentuk
kemenangan sahaja, sedangkan kemenangan itu memang banyak sekali bentuknya.
Sesungguhnya nilai yang paling berharga di dalam neraca Allah SWT ialah
nilai akidah; sesuatu yang paling laris di pasaran Allah ialah iman. Kemenangan
yang paling bernilai di sisi Allah ialah kemenangan roh atas kebendaan,
kemenangan akidah menghadapi sakit dan sengsara, kemenangan iman menempuh
badai fitnah…… ……”

Sepertimana kata-kata Al-Imam As-Syahid Hasan Al-Banna dalam risalahnya kepada “PEMUDA” : “ Wahai pemuda, sesuatu gagasan fikrah akan berjaya jika wujud keyakinan/keimanan yang kuat atas gagasan fikrah yang didokong, wujudnya keikhlasan dalam mendokongnya, semangat yang sentiasa membara bersamanya serta sedia berkorban dan berusaha untuk merialisasikannya ……..”
Artikel pada kali ini merupakan artikel yang amat menyentuh hati pena yang serba lemah dalam menempuh hari demi hari sebagai seorang muslim. Kehidupan yang dipenuhi oleh nuansa-nuansa metarialistik, permainan nafsu, serta isme-isme dan anasir-anasir Jahiliyyah. Benarlah…!!!“Berjuang itu pahit …… kerana syurga itu manis”. Begitulah perjalan seharian kita yang panjang, dipenuhi peluh dan ujian. Beginilah perjuangan kita wahai ikhwah dan akhawat aktivis sekalian, perjuangan yang seharusnya dirasai dan dilalui dalam mengharapkan hanya keredhaan Allah SWT .

Wallahu a’lam Bissowab .

Rujukan:

صحيح مسلم
مع الله (الشيخ محمد الغزالي)
الأربعين النووية الإمام النووي
الفوائد (الإمام ابن قيم الجوزية)
مجموعة رسائل الإمام الشهيد حسن البنا
معالم في الطريق الإمام الشهيد سيد قطب
المستخلص في تزكية الأنفس (سعيد حوى)
رسالة المسترشدين (الإمام الحارث المحاسبى )
دع المعاصي واستمتع بالحياة (مدحت وربي)
المعجم المفهرس القرآن الكريم (محمد سعيد اللحام)
رسالة إلي كل من يعمل للإسلام ( د.ناجح إبراهيم )
خصائص التصور الإسلامي ومقوماته الإمام الشهيد سيد قطب

Thursday, June 4, 2009

Let’s Propagate Islam !!! (Jom Berdakwah) !!!


Keadaan manusia dan ummat kini yang dipenuhi dengan kefasadan, kezaliman keruntuhan moral, gejala sosial, kemunduran dan kekacauan yang seiring dengan kemajuan ilmiah dan kemakmuran negara dan kebudayaan yang maju …. Seperti mana yang diketahui disesetengah bumi yang didirikan dan dijajah oleh anasir-anasir kufur dan sesat…. Bagi kita yang telah mengetahui keadaan-keadaan sebegini sejak begitu lama , maka kita juga harus mengetahui apakah peranan atau kewajipan kita dalam pengislahan & perubahan? Apakah kewajipan terbesar kita dalam menyampaikan dakwah? InsyaAllah disini kita akan membincangkan dan mengetengahkan kepada para pembaca secara ringkas dan padat apakah peranan kita sebagai seorang muslim dalam menyampaikan dakwah.


Ketahuilah , semoga Allah merahmati kita semua, sesungguhnya berdakwah kepada Islam pada keadaan sebegini menjadi kefarduan syar’iyyah dan keperluan yang mendesak kepada siapa yang dinisbahkan atau dilabelkan sebagai ummat Islam, baik org tua atau pemuda,lelaki atau wanita,budak atau org dewasa, kerajaan atau masyarakat ,secara umum ataupun khusus….. Semuanya harus berperanan dalam kewajipan ini mengikut keadaannya, keadaan kemampuannya ,keadaan imannya, dan keadaan sejauh mana serius atau perasaanya terhadap keadaan muslimin dan keadaan masyarakat kini.

Di sana terdapat banyak nusus atau dalil-dalil daripada Al-quran dan As-sunnah yang menerangkan tentang kewajipan secara qat’ieyyah kewajipan menyampaikan dakwah (amr makruf & nahi mungkar) dan kefarduannya. InsyaAllah secara ringkas dan padat pena mengemukakannya :
Firman Allah SWT :

((كنتم خير أمة أخرجت للناس تأمرون بالمعروف وتنهون عن المنكر ....))
”Kamu adalah sebaik-baik ummat yang dilahirkn bagi manusia,(supaya) kamu menyuruh dengan makruf, dan melarang dari mungkar”
- Al-Imran:110 –

Disini Allah Taala menerangkan ciri sebaik-baik manusia atau ummat ialah menyeru manusia supaya berbuat kebaikan dan melarang kemungkaran.

ولتكن منكم أمة يدعون إلي الخير ويأمرون باالمعروف وينهون عن المنكر ...
“Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji).
- Al-Imran:140 -
Ayat diatas bermaksud bahawa orang-orang Islam mestilah bangun mempersiapkan “ummat” yang dimaksudkan iaitu jamaah yang kuat untuk berdakwah menyeru manusia kepada Allah.

Rasulullah SAW bersabda :

((من رآ منكم منكرا فليغيره بيده، فإن لم يستطع فبلسانه، فإن لم يستطع فبقلبه وذالك أضعف الإيمان))

“Siapa diantara kamu yang melihat kemungkaran, maka hendaklah dia mencegahnya dengan tangannya, sekiranya tidak berkemampuan, cegahlah dengan mulutnya, sekiranya tidak berkemampuan, maka dengan hatinya (tidak redho dengan kemungkaran) dan inilah selemah-lemah iman”
- Riwayat Muslim/Tarmidzi & Ibn Majah -

Ayat diatas menerangkan kewajipan menyeru kepda kebaikan dan mencegah kemungkaran merupakan fardiyah at-taklif(kewajipan individu) mengikut kemampuan individu itu sendiri.

Firman Allah SWT :

والمؤمنون والمؤمنات بعضهم أولياء بعض يأمرون باالمعروف وينهون عن المنكر ....

“. Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka (adalah) menjadi penolong bagi sebahagian yang lain. Mereka menyuruh (mengerjakan) yang ma'ruf, mencegah dari yang munkar,
- At-Taubah :71 -

والمنافقون والمنافقات بعضهم أولياء بعض يأمرون باالمنكر وينهون عن المعروف ...
“Orang-orang munafik laki-laki dan perempuan. sebagian dengan sebagian yang lain adalah sama, mereka menyuruh membuat yang munkar dan melarang berbuat yang ma'ruf dan mereka menggenggamkan tangannya. Mereka telah lupa kepada Allah, maka Allah melupakan mereka. Sesungguhnya orang-orang munafik itu adalah orang-orang yang fasik.”
- At-taubah :67 -

Istifadah daripada dua Nash diatas ialah , sesungguhnya Allah Taala telah membezakan diantara orang Mukminin dan orang Munafiqin dalam masalah Amr makruf & Nahi mungkar.
Al-Imam Qurtubi dalam tafsirnya mengatakan:
Allah Taala telah menjadikan Amr makruf & Nahi mungkar perbezaan diantara orang mukmin dan orang munafik, kemudian diterangkan lagi ciri-ciri orang mukmin ialah: Amr makruf (menyeru kepada kebaikan) & Nahi mungkar (melarang kemungkaran) dan kemuncaknya ialah menyeru kepada Islam. Manakala diantara ciri dan sifat orang munafik ialah : Amr mungkar (menyeru kepada kemungkaran) dan Nahi makruf (mencegah daripada melakukan ma’ruf (kebaikan) dan kemuncak atau tujuannya ialah, menyeru kepada kekufuran. – Tafsir Al-Qurtubi -

Sekiranya ummat Islam masih lagi lalai ,takut, bermalas-malasan serta mengaggap remeh perkara ini, maka tunggulah ketentuan atau Sunnah Allah yang telah dijanjikan-Nya kepada golongan ini, sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:

“Sesungguhnya manusia apabila mereka melihat kemungkaran sedangkan mereka tidak mengubahnya, hampirlah Allah meliputi mereka dengan azab daripada-Nya”


Rasulullah bersabda :

والذى نفسي بيده لتأمرن بالمعروف ولتنهون عن المنكر , أو ليوشكن أن يبعث الله عليكم عقابا منه , ثم تدعون له فلا يستجيب لكم
“Demi jiwa dan nyawaku berada di genggamanNya, serulah manusia melakukan kebaikan dan cegahlah mereka daripada melakukan kemungkaran , atau Allah sesekali tidak teragak-agak untuk menimpakan kepada kamu azabNya , kemudia kamu pun berdoa kepada-Nya , maka Allah sesekali tidak akan mengakabulkannya”
- Riwayat Tarmidzi -

Natijah terbesar yang akan terjadi sekiranya manusia masih melalaikan tanggungjawab ini ialah , penguasaan golongan zalim ke atas golongan yang baik serta keruntuhan dan kemusnahan dunia. Sepertimana jawapan yang ringkas yang di ucapkan oleh Amirul Mukminin Umar bin Al-khttab:

Umar Al-khattab pernah di tanya:
((أتوشك القرى أن تخرب وهى عامرة))
“Adakah sebuah kampung yang aman damai akan rosak dan musnah?”
Umar Al-khattab menjawab :
((بلى , إذا علا فجارها على أبرارها))
“Ya, apabila orang-orang yang Fujjar (org yang melakukan maksiat) menguasai/lebih ramai daripada orang-orang Abrar (org yang salih).

Wahai saudara-saudara yang budiman dan soleh !!

Wahai ahli zuhud dan ahli ibadat !!

Di hadapanmu terbentang bahaya kanun Rabbani yang menggerunkan sekiranya kamu membisu seribu bahasa.

Janganlah kamu diperdayakan oleh kezuhudanmu dan solatmu.

Sampaikanlah kebenaran, suruhlah manusia membuat kebaikan dan laranglah mereka dari kemungkaran dan kejahatan,
Kalau tidak …….Tunggulah saat kebinasaan dan kemusnahan.

RUJUKAN: سلسلة مدرسة الدعات (د.عبد الله ناصح علوان)
المنطلق ) محمد أحمد الرشيد)