Monday, August 30, 2010

( World View ) Perspektif/Tasawwur Islami


أفمن يمشي مكبا علي وجهه أهدى أمن يمشي سويا علي صراط مستقيم

Maka apakah orang yang berjalan ( melalui jalan yg salah) terjungkal di atas mukanya : boleh mendapat hidayah petunjuk ataukah orang yang berjalan tegak betul di atas jalan yang lurus?” ( Al-Mulk :22 )

Perkataan tasawwur berasal daripada perkataan bahasa Arab yang bermula dengan kata dasar sawwara. Hasil daripada kata dasar ini menerbitkan perkataan tasawwur yang bererti: - Memberikan suatu tanggapan kepada rupa yang dapat dikhayalkan. - Menjelaskan gambaran sebenar ke atas sesuatu. -Menghasilkan rupa dalam akal. Daripada definisi tersebut, tasawwur bermaksud memberikan gambaran sebenar ke atas apa yang disampaikan kepada akal fikiran dan seterusnya menjadi sebati dalam diri untuk difahami. Begitu juga dengan perspektif yang bermaksud :- Pandangan/ penafsiran yang wajar berkenaan sesuatu dengan memperkirakan bahagian-bahagiannya dalam hubungan keseluruhannya.

Apabila perkataan tasawwur @ perspektif diikat dan dipadukan dengan perkataan Islam , maka ia membentuk perkataan “tasawwur Islam” @ “perspektif Islam” yang bererti tanggapan, gambaran serta penafsiran Islam hakiki yang bersumberkan Al-quran dan Sunnah. Islam datang dengan risalahnya yang global dan unik, sistem pensyariatan yang dinamik dan fleksibel yang menunjukkan kepada method serta konsep tasawwur Islam yang syumul (menyeluruh) sepertimana benar dan murninya para sahabat dan salafussoleh menyikapinya. Oleh itu Islam ialah satu sistem yang syumul yang merangkumi: (Negara dan watan atau pemerintah dan ummat. Akhlak dan kekuatan atau rahmat dan keadilan. Kebudayaan dan undang-undang atau ilmu dan kehakiman. Material dan harta benda atau usaha dan kekayaan. Jihad dan dakwah atau tentera dan fikrah . Sebagaimana ia juga adalah aqidah yang benar dan ibadat yang sah) – Usul 20 –

“World View” & Kesannya

Sebagai seorang insan, kita akan sentiasa menjalani proses transformasi yang berterusan ke atas diri. Input-input yang masuk menerusi indera dan mata kepala seterusnya diproses oleh akal dan mata hati akan membentuk satu tanggapan hidup ( world view). World view ini akan menentukan nilai dan sikap individu (keadaan jiwa) yang seterusnya menentukan tabiat atau tingkahlaku seseorang.

Kesalahan serta kekeliruan dalam menanggapi soal-soal asas dalam kehidupan iaitu persoalan tentang ketuhanan (Allah), alam, manusia dan kehidupan akan menyebabkan seseorang menjalani hidup dalam keadaan gelisah, jemu, putus asa ,tidak bermakna, tidak bahagia, ketakutan, rasa rendah diri, lemah dan malas. Sebaliknya pandangan hidup yang betul ke atas Allah, alam ,manusia dan kehidupan merupakan asas serta ciri-ciri tasawwur Islami yang akan merubah hidup seseorang menjadi ceria, berkeyakinan, berani, bermotivasi, bermakna dan terarah.

Serangan Pemikiran الغزو الفكر

Di antara strategi terbesar dan efektif yang digunakan oleh musuh Islam ialah serangan ideologi /pemikiran dengan menggunakan teknik yang amat halus sehingga ummat Islam sendiri tidak menyedari mereka telah terjebak di dalam perangkap ini.

Tujuannya ialah untuk merosakkan aqidah & tasawwur ummat Islam dengan menghakis dan memusnahkan imej dan nilai-nilai Islam dalam fikiran dan mata hati ummat Islam .

Dr.Abdul Sattar Fathullah Said berkata : “ Serangan pemikiran adalah salah satu cabang usaha yang dilakukan oleh manusia untuk menentang musuh,mencapai kemenangan dan jaminan yang selamat untuk menjadikan ia satu cara kemenangan yang mutlak. Bagi yang kalah ini adalah satu cara ataupun taktik yang paling berat untuk diterima”

“ Senjata yang digunakan ialah pemikiran, pandangan, helah, syubhat dan tipu daya sebagai ganti kepada senjata api yang berat”

“……keistimewaan peperangan ini ialah ia lebih menyeluruh dan kesannya memakan masa yang panjang . Ia tidak terhad kepada satu medan sahaja bahkan meliputi seluruh cabang hidup manusia ….”

Al-Ustaz As-Syeikh Muhammd Qutb dalam kitabnya “Jahiliyyah Qarnul Esyirin” berkata : “ Apabila lemahnya kesan agama di dalam kehidupan manusia, ini bermakna akidah sesuatu ummat itu telah rosak, ia juga bermakna bahawa manusia tidak lagi menyembah Allah, tidak menyembah Allah dengan sebenar-benar ibadah. Manusia tidak lagi mentauhidkan Allah dalam beribadah dengan menyembah tuhan-tuhan yang lain ( ideologi/ hawa nafsu dll ) dan seterusnya menghukum bukan dengan hukum Allah”

Solusi dan Kesimpulan

Keadaan di atas yang menggerunkan serta menggoncangkan keimanan hasil daripada kesan serangan pemikiran yang dilakukan musuh Islam membawa kepada satu hakikat iaitu kita sedang menghadapi satu krisis pemikiran yang dasyat. Oleh itu , pemulihan ( Islah) dan pembanggunan (Insya’) kembali konsep tasawwur Islami pada ummat akan berhasil apabila persoalan pemahaman dan pemikiran mendapat perhatian yang serius oleh aktivis-aktivis dakwah kini.

Mufakkir Islami Muhammad Iqbal menyeru kepada kita untuk “Membina kembali Pemikiran agama dalam Islam” ( The Reconstruction of Religious Thought in Islam ) Beliau berkata : “ Tugas seorang muslim modern adalah memikirkan kembali keseluruhan sistem Islam tanpa sepenuhnya memutuskan hubungan dengan masa lampau”. Ya , membina dan membangun kembali tasawwur Islam berlandaskan aqidah yang bersih dan kuat serta akhlak yang tinggi dan mulia.

Ikhwah & akhawat ,

Membentuk dan melahirkan peribadi Rabbani merupakan fokus utama gerakan Islam. Peribadi yang berpendirian dan bertanggungjawab menjalankan tugas sebagai khalifah Allah merupakan aset terpenting kepada kehidupan seorang aktivis dakwah. Daripada kefahaman ini, akan lahirlah kepercayaan serta sikap dan juga pendirian yang membawa kepada keyakinan pada diri.

Semuanya bermula dengan melakukan perubahan apa yang ada dalam diri iaitu akal dan hati. Apa yang ada dalam akal dan hati akan mengubah tanggapan hidup (world view) . Tanggapan hidup akan mengubah sikap. Manakala sikap akan mengubah tabiat dan tingkahlaku. Tabiat dan tingkahlaku yang baik berpunca dari tanggapan hidup yang baik dan benar. Tanggapan hidup yang baik dan benar tentulah bersumberkan daripada sebaik-baik dan sebenar-benar maklumat iaitu Kalamullah (Al-quran) & Sunnah Nabawiyyah.

ذلك بأن الله لم يك مغيرا نعمة أنعمها علي قوم حتي يغير ما بأنفسهم وأن الله سميع عليم

“Yang demikian itu adalah Karena Sesungguhnya Allah sekali-kali tidak akan merubah sesuatu nikmat yang Telah dianugerahkan-Nya kepada suatu kaum, hingga kaum itu merubah apa-apa yang ada pada diri mereka sendiri dan Sesungguhnya Allah Maha mendengar lagi Maha Mengetahui.”( Al-Anfal :53 )


Rujukan :

Kamus Dewan Edisi Ke-3

جاهلية القرن العشرين محمد قطب

خصائص التصور الإسلامي سيد قطب

(Bagaimana Berfikir Islami) Abu Azmi Azizah

Tauhid (Menggilap kebebasan jiwa) Jaafar Bin Muhammad


Sunday, April 4, 2010

Kontaminasi ( Problematika Jama'ah Islam )


أن خطأ الأكبر أن تنظم الحياة من حولك و تترك الفوضى في قلبك
“ Kesalahan terbesar adalah bila engkau berusaha meluruskan/menyusunkan kehidupan di sekitarmu, tapi engkau meninggalkan kekacauan dalam hatimu.”
( Dr.Musthofa Shadiq Ar-Rafi’e: Wahyul Qalam )

Kontaminasi bermaksud pencemaran yang menunjukkan kepada satu suasana kotor ,buruk dan keji yang menodai sesuatu perkara. Kontaminasi yang ingin dimaksudkan pena di sini bukanlah kontaminasi alam sekitar yang sering berlaku dimana-mana, tetapi kontaminasi yang berlaku pada dakwah, & tarbiah di dalam jama’ah atau gerakan Islam. Apabila kita katakan di sana ada berlakunya proses kontaminasi (pencemaran) , maka di sana semestinya mempunyai unsur pencemar serta tangan-tangan busuk , dan keji yang mencemarkannya. Mereka ini diistilahkan oleh Al-quran dan Sunnah sebagai “Al-Munafiqun” (Orang munafiq) yang menzahirkan ke-Imanan serta menyembunyikan kekufuran di dalam hati mereka.

Angkatan dakwah Islam sepanjang sejarah tidak pernah terlepas dari ancaman dan angkara golongan munafiq seperti ini. Mereka tampil untuk merosakkan, mencetuskan krisis, melaga-lagakan para aktivis, menimbulkan keraguan aktivis terhadap qiadah dan aktivis pendakwah lainnya serta memecahbelahkan barisan umat Islam. Mereka pun meresapi masuk ke dalam jama’ah untuk tujuan-tujuan tadi. Mereka melakukan fitnah penipuan serta pengkhianatan terhadap jama’ah secara halus dengan berselindung di sebalik taqwa dan agama serta meminta prasangka baik mad’u-nya atas kesalahan-kesalahan jelas yang dilakukannya,dengan mengatakan bahawa itu sebahagian dari dakwah,tarbiah dan fikrah Islam.

Firman Allah Subhanahuwataala :

في قلوبهم مرض فزادهم الله مرضا ولهم عذاب أليم بما كانوا يكذبون * وإذا قيل لهم لا تفسدوا في الأرض قالوا إنما نحن مصلحون * ألا إنهم هم المفسدون ولكن لا يشعرون *

Dalam hati mereka ada penyakit, lalu ditambah Allah penyakitnya , dan bagi mereka seksa yang pedih disebabkan mereka berdusta. Dan bila dikatakan kepada mereka: “Janganlah kamu membuat kerosakan di muka bumi!”, Mereka menjawab: “Sesungguhnya kami orang-orang yang mengadakan perbaikan”. Ingatlah, sesungguhnya mereka itulah orang-orang yang membuat kerosakan tetapi mereka tidak sedar.” (Al-Baqarah : 10-12)

Sabda Rasulullah SAW :

ثلاث من كن فيه فهو منافق وإن صام وصلى وحج واعتمر وقال :إنى مسلم ... من إذا حدث كذب وإذا وعد أخلف وإذا ائتمن خان
“Ada tiga sifat, siapa yang memilikinya maka dia adalah munafiq walaupun ia berpuasa, solat, menunaikan haji, mengerjakan umrah dan mengaku muslim. Iaitu orang yang berdusta bila berkata, mungkir bila berjanji dan mengkhianati amanah”. ( Riwayat Abu Ya’la)


Indikator /gejala-gejala Kontaminasi

Indikator serta gejala-gejala kontaminasi yang biasa wujud dalam jama’ah Islam antaranya adalah seperti berikut:

Penyakit di kalangan aktivis yang tidak Memahami/Menghayati Tuntutan Perjuangan:

Penyakit yang biasa melanda para aktivis adalah ghurur (terpedaya oleh diri sendiri). Penyakit ini berlaku kerana para aktivis merasakan ia telah lama dalam kerja-kerja dakwah, usaha-usahanya sentiasa berjaya, jama’ah yang disertainya terkenal dan barisan kepimpinannya masyhur serta disanjung oleh masyarakat. Keadaan seperti inilah yang cepat menjadikan mereka berpuas hati dengan sedikit amal dakwah yang mereka lakukan. Mereka cepat berpuas hati dengan sedikit pengorbanan yang mereka lakukan kerana mereka dapat berlindung di belakang sebuah jama’ah yang terkenal.

Penyakit lain yang biasa juga melanda para aktivis adalah penyakit cintakan kemasyhuran dan suka menonjolkan kehebatan –kehebatan. Penyakit ini biasa menyerang para aktivis yang terlibat dalam dakwah secara terbuka, seperti memberi ceramah atau menjadi tempat rujukan masyarakat dalam beberapa perkara. Tanda awal kepada penyakit ini ialah apabila seorang aktivis itu merasa manis dengan kejayaannya dalam menyampaikan ceramah-ceramah di hadapan khalayak ramai. Kemudian dia suka bertanya-tanya pendapat beberapa orang temannya yang mendengar ceramahnya tadi berkenaan ceramah yang telah disampaikannya.

Selangkah selepas itu dia merasa kurang bermanfa’at atau merugikan masanya jika dia diminta untuk menyampaikan ceramah kepada khalayak yang kecil bilangannya.

Selepas tahap tersebut dia mula kagum dengan dirinya sendiri dan merasakan kejayaan jama’ah adalah disebabkan oleh kemasyhurannya. Akhirnya ia merasakan bahawa ia boleh bergerak dan berperanan dalam dakwah tanpa berintima’ atau menyertai jama’ah Islam. Lantas ia meninggalkan jama’ah dan bergerak dengan meninggalkan dasar-dasar amal jama’ie.

Masalah Keta’atan dan Disiplin Para Aktivis :

Di antara perkara yang selalu berlaku ialah tidak patuhnya aktivis-aktivis terhadap keputusan-keputusan jama’ah. Ini berlaku apabila seorang aktivis itu melakukan tindakan-tindakan yang mencanggahi peraturan-peraturan jama’ah, Perkara ini termasuk juga tindakan seseorang aktivis menyatakan kepada masyarakat umum sesuatu perkara seolah-olah apa yang disampaikannya itu adalah pendirian jama’ah. Sedangkan ia berbuat demikian tanpa kebenaran daripada jama’ah. Dalam hal ini ia bertindak seolah-olah sebagai wakil jama’ah kepada masyarakat umum. Sedangkan apa yang dikatakan mungkin bercanggah atau tidak selaras dengan pendirian tanzim yang sebenar.

Masalah Kutlah / Kelompok yang membawa Fitnah dalam Tanzim :

Untuk mencapai kesepakatan atau kebersamaan dalam semua hal adalah satu perkara yang rumit dalam harakah Islamiyyah. Para aktivis hendaklah ditarbiyyah hingga dapat menghayati adab-adab mesyawarah dan adab-adab khilaf (berbeza pendapat) dalam sesuatu perkara. Namun demikian, masalah kutlah tetap wujud dan berlaku dalam jama’ah Islam.

Masalah yang paling berat berkaitan dengan perbezaan pendapat adalah apabila beberapa aktivis yang tidak berpuas hati dengan sesuatu keputusan jama’ah mula mendapatkan pengaruh daripada aktivis-aktivis lain. Bermula daripada itu, mereka mula mewujudkan kelompok atau kutlah yang sentiasa mendesak tanzim untuk menerima pendapat mereka . Tindakan mereka itu akhirnya menjadi fitnah dalam jama’ah Islam.

Selalunya jika pendapat-pendapat mereka tidak juga diterima oleh jama’ah, mereka memutuskan untuk meninggalkan jama’ah dengan membawa bersama mereka ahli-ahli lain. Kemudian mulalah mereka menyerang jama’ah yang asal dengan kata-kata dan tuduhan-tuduhan yang keji lagi dusta.



Saidina Umar Al-Khattab RA pernah berkata :

الرجوع إلي الحق خير من التمادي في الباطل
“ Kembali kepada kebenaran adalah lebih baik daripada berterusan dalam kebatilan (kesalahan).”

Al-Imam Fudhail berkata:

إن من علامة المنافق أن يحب المدح بما ليس فيه ويكره الذم بما فيه ويبغض من يبصره بعيوبه
“ Sesungguhnya, di antara tanda-tanda munafik ialah, sukakan pujian terhadap perkara yang tidak dimiliki, bencikan celaan terhadap keburukan diri dan marahkan mereka yang menunjukkan kelemahan dirinya”

إن من علامة المنافق أن يفرح إذا سمع بعيب أحد من أقرانه
“ Sesungguhnya, antara tanda-tanda munafik ialah, dia merasa gembira apabila mendengar keburukan salah seorang sahabatnya”

Bagi pena, tidaklah menjadi satu keaiban/kehinaan jikalau para aktivis tersalah atau tersilap jalan kerana setiap manusia tidak terlepas dari kesalahan, dan sebaik-baik orang melakukan kesalahan ialah orang yang bertaubat serta kembali kepada kebenaran. Tetapi yang menjadi satu kesilapan dan dosa besar adalah sifat takabbur (sombong) serta berterusan melakukan kesalahan .

Bertaubatlah kepada Allah, kembalilah kepada kebenaran dan jama’ah sebelum diri diperdaya oleh fitnah istidraj disebabkan oleh dosa yang dilakukan yang kemudian Allah menambahkan lagi nikmatnya sehingga melupakan mereka daripada istighfar (taubat).

Ibn A’taillah berkata :

كلما أحدثوا خطيئة جددنا لهم نعمة وأنسيناهم الإستغفار من تلك الخطيئة
“ Setiap kali mereka melakukan kesilapan, kami beri mereka nikmat dan kami lupakan mereka beristighfar atas kesilapan itu”


Wallahu A’lam Bissowab.

Rujukan:


Majalah Tarbawi

Kamus Dewan Edisi Ke-3

( رسالة أسرة ) أبو عروة

( العوائق ) محمد أحمد الراشيد

( قوارب النجاة في حياة الدعاة ) فتحى يكن

( أحاسن الكلم شرح الحكم ابن عطاء الله ) د.ذوالكفلى محمد بكري

( بصائر للمسلم المعاصر) الشيخ عبد الرحمن حسن حبنكة الميداني



Thursday, January 21, 2010

Cinta Haraki ( The Power of Love )


قل إن كنتم تحبون الله فاتبعوني يحببكم الله ويغفرلكم ذنوبكم والله غفور رحيم
“Katakanlah: "Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, ikutilah aku, niscaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu." Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” ( Al-Imran :31 )

سئل الإمام الشهيد حسن البنا رحمه الله عن الحب فقيل له : ( هل الحب حلال أم حرام؟ فرد الإمام : الحب الحلال حلال والحب الحرام حرام )
Al-Imam As-Syahid Hasan Al-Banna pernah ditanya mengenai cinta, maka dikata padanya: ( Adakah cinta itu halal atau haram? Maka beliau menjawab : Cinta yang halal itu halal, dan cinta yang haram itu haram )

Ikhwah & akhawat,

Pena merasakan terdapat begitu banyak sekali artikel, penulisan, novel serta filem-filem berkenaan cinta seperti disana dapat kita dapati kepelbagaian method serta uslub dalam menyikapi & mentafsir makna cinta dengan cara yang pelbagai. InsyaAllah, dengan masa & rujukan yang amat terhad pena akan cuba mengutarakan beberapa pandangan hasil daripada pengamatan terhadap beberapa pandangan dan beberapa kisah cinta sebagai muhasabah terhadap diri.



Muhasabah Cinta :

“ Gelisah benar hati sang raja memikirkan keadaan puteranya yang ternyata seorang pemalas , serta ciri-ciri seorang raja tidak langsung terlihat dalam peribadinya . Pada suatu hari sang raja dapat menemukan cara mengubah peribadi puteranya …. Bagaimana ..?....Ternyata semestinya : The Power of Love .

Sang raja mendatangkan gadis-gadis cantik ke istananya . Istana yang dulu suram dan muram seketika berubah menjadi taman , semua bunga mekar di sana . Sesuatu yang memang diharapkan : puteranya jatuh cinta pada salah seorang di antara mereka. Tapi kepada gadis itu sang raja berpesan, “ Kalau puteraku menyatakan cinta padamu, bilang padanya , “ Aku tidak sesuai untukmu. Aku hanya sesuai untuk seorang raja atau seorang yang berbakat menjadi raja”.

Hakikatnya , dalam beberapa hari saja puteranya pergi belajar, ia mempelajari segala hal yang harus diketahui oleh seorang raja dan melatih dirinya untuk menjadi seorang raja. Dengan seketika ciri-ciri seorang raja meledak terzahir dalam dirinya dan inilah realitinya. Segalanya adalah kerana cinta, cinta yang menggerakkan (Cinta haraki) .

********** ****** ******* ***** ******** ***** ********

Beliau adalah seorang tua lumpuh yg tidak dapat berjalan, amat digeruni oleh kawan dan lawan. Namun takdir menetapkan roket-roket yahudi menjadi bukti kesyahidan serta kebenaran cintanya kepada jihad dan syahid. Syiekh Ahmad Yasin telah membuktikan cintanya dengan kepingan-kepingan tubuh yang hancur yang seterusnya tumbuh memekarkan bunga-bunga jihad dalam jiwa-jiwa anak Palestine. Begitu pula halnya Al-Imam As-Syahid Hasan Al-Banna merupakan lagenda dakwah kontemporari yang telah membuktikan cintanya kepada dakwah melebihi segalanya yang seterusnya menjadi diantara pelapor kebangkitan Islam terunggul.

Reformasi Cinta

Ikhwah dan akhwat yang dirahmati Allah,

Saat cinta adalah saat gila. Saat gila adalah saat keajaiban yang dalamnya terukir berbagai sejarah keajaiban. Cinta , kata Imam Quddamah : “ Mengubah seorang pengecut menjadi pemberani, yang kikir menjadi dermawan, yang malas menjadi rajin, yang pesimis menjadi optimis, yang kasar menjadi lembut. Kalau cinta kepada Allah membuat kita mampu memenangkan Allah dalam segala hal, maka cinta kepada manusia, atau haiwan atau tumbuhan atau apa saja mendorong kita mempersembahkan semua kebaikan yang diperlukan manusia , haiwan atau tanaman yang kita cintai.”

Ibnu Mas’ud R.A berkata : “ Hati-hati (manusia) sudah dibiasakan untuk mencintai sesiapa yang pernah berbuat baik kepadanya”

Seorang lelaki pernah berkata kepada Tho’us rahimahullah : “ Pesanilah daku sesuatu. Jawab Tho’us : Aku pesan agar engkau mencintai Allah dengan kecintaan yang tidak akan ada sesuatu lebih kau cintai melebihi-Nya. Berharaplah pada Allah dengan harapan yang boleh melindungi kamu dari perasaan takut dan bimbangi tadi. Redholah untuk orang lain apa yang kamu redhoi terhadap dirimu. Kamu boleh pergi sekarang , sesungguhnya aku telah menghimpunkan bagimu (dalam pesanku) taurat, injil, zabur dan Al-Quran .
( Risalatul Mustarsyidin – Imam Harith Al-Muhasibi)

Al-Imam Ibnu Qayyim Al-jauziyyah dalam kitabnya ( Al-waabil As-Soibb) berkata : “ Jika hati tidak diisi dengan cinta Allah swt maka ia pasti diisi dengan cinta kepada makhluk yang lain.”

Enrich Fromm menjelaskan kekuatan cinta dalam proses perubahan : “ Pendekatan cinta adalah berlawanan dari pendekatan kekerasan. Cinta berusaha memahami , menguatkan dan menghidupkan . Dengan cinta, seorang individu akan selalu mentransformasikan dirinya . Dia menjadi lebih peka, lebih menghargai, lebih produktif, lebih menjadi dirinya sendiri. Cinta tidak sentimental dan tidak melemahkan. Cinta adalah cara untuk mempengaruhi dan merubah sesuatu tanpa menimbulkan ‘kesan sampingan’ sebagaimana kekerasan. Tidak seperti kekerasan , cinta memerlukan kesabaran , usaha dari dalam. Lebih dari semua itu , cinta memerlukan keteguhan hati untuk menghindari frustasi , untuk tetap sabar meskipun menemui banyak halangan. Cinta lebih memerlukan kekuatan dari dalam , kepercayaan daripada sekadar kekuatan fizik .
( Love,Sexuality,Matriarchy,Gender, 291 : 2002)

Semboyan Cinta

“ Akan kami perangi mereka dengan cinta”
- (Al-Imam As-Syahid Hasan Al-Banna)-

Apakah para aktivis tidak pernah mendengar perkataan Khalid Al-Walid RA ini, “ Aku lebih menyukai malam yang sangat dingin dan bersalji, di tengah-tengah pasukan yang akan menyerang musuh pada pagi hari, daripada berada di sisi seorang gadis di malam pengantin yang aku cintai atau aku diberi khabar kelahiran anak lelaki”
( Diriwayatkan Ibnu Al-Mubarak & Abu Nu’aim)

Hati yang beriman adalah hati yang selalu mencintai Allah. Hati yang beriman juga akan sentiasa mendorong orang yang berada disekelilingnya untuk kembali kepada Allah dan bergantung pada-Nya. Oleh kerananya, hati yang mencintai Allah tidak biasa merasai kenikmatan, keuntungan ,kenikmatan dan kesenangan kecuali dengan keredhaan-Nya ( Mardhatillah).

Dengan -Nya ia merasakan ketenteraman, kepada-Nya ia berlindung, dengan-Nya ia bersukacita, kepada-Nya ia bertawakkal, dengan-Nya ia yakin terhadap dirinya, kepada-Nya ia berharap, dan keran-Nya ia merasa takut. Zikrullah merupakan santapan tenaganya, mencintai dan rindu kepada-Nya merupakan penyebab kehidupannya, kelazatannya, kenikmatan dan kesenangannya. Berpaling serta bergantung kepada selain-Nya merupakan penyakit, serta kembali kepada-Nya merupakan ubat.

Ikhwah & akhawat aktivis ,

Kesimpulan yang dapat kita ringkaskan terhadap beberapa keterangan diatas ialah, cinta melahirkan kedamaian ,ketenteraman, ketanggungjawaban, dan kelembutan. Cinta juga melahirkan kerelaan dan kepasrahan untuk menanggung segala risiko, bahkan cinta melahirkan kesiapan untuk berkorban. Dengan cinta segala ujian terasa ringan, dengan cinta juga segala beban terasa remeh.

Jika para aktivis dakwah dapat beramal dengan semua ini , insyaAllah ia akan mendapatkan ketenangan dan ketenteraman hati . Segala ketegangan terhadap masalah-masalah dakwah kini dapat diselesaikan dengan mudah, serta tenaga dan gerak kerja aktivis dapat digandakan dan disatukan dalam berdakwah kepada Allah.

Doa Cinta

Suka bagi pena dalam mengakhiri artikel pada kali ini menyeru ikhwah & akhawat aktivis mengingati serta membanyangkan saudara-saudara seperjuangan yang dikenali serta merasakan adanya hubungan Ruhiyyah diantara kita dengan saudara-saudara yang belum dikenali seraya mengangkat serta menadah tangan berdoa kepada Allah dengan doa cinta ini :

اللهم إنك تعلم أن هذه القلوب قد اجتمعت على محبتك , والتقت على طاعتك , وتوحدت على دعوتك , وتعاهدت على نصرة شريعتك , فوثق اللهم رابطتها وأدم ودها ........
“ Ya Allah sesungguhnya Engkau Maha mengetahui bahawa hati-hati ini telah berkumpul atas dasar kecintaan kepada-Mu , bertemu atas dasar ketaatan kepada-Mu, bersatu dalam menyeru dijalan-Mu, dan berjanji setia untuk membela syariat-Mu, maka eratkanlah ikatannya, dan abadikanlah cintanya …….”
( Maj’muah Rasaail: Al-Banna)

Wallahu A’lam Bissowab .


Rujukan :

Majalah Tarbawi
Kamus Dewan Edisi Ke-3
Iman & Mahabbatullah ( Cahyadi Takariawan dll )
مجموعة رسائل الإمام الشهيد حسن البنا
رسالة المسترشدين - الإمام الحارث المحاسبى
أسرتنا بين الدين والخلق - د.محمد سليم العوا-
كيف تعيشان حياة زوجية سعيدة - جمال ماضي
-