Kehidupan kini yang dipenuhi oleh nuansa-nuansa metarialistik, permainan nafsu yang bertebaran, serta isme-isme dan anasir-anasir Jahiliyyah yang datang menyerang secara ganas dan begitu tersusun menyerang Ummah Islamiyyah . Keadaan yang begitu menggerunkan serta menggoncangkan keimanan seorang Mukmin Al-Haq (Believer) dalam menempuhi kehidupan seharian sebagai seorang muslim . Kepada Ummah Islamiyyah secara umumnya dan kepada Harakah Islamiyyah secara khususnya haruslah menyediakan serta melengkapkan kepada anak-anaknya bekalan dalam menghadapi tribulasi kehidupan yang serba menawan dan mencabar kini. Secara zahirnya , kebanyakan manusia terutamanya ummat Islam hanya mampu melihat dan menonton keadaan mereka yang begitu tragis tanpa melakukan apa-apa dalam mengembalikan dan menegakkan kembali kebangkitan Islam (Sohwah Islamiyyah) serta Ke-Izzahan (Kemulian) ummah.
Dalam mengembalikan ke-Izzahan (Kemuliaan) ummat Islam , Ummah Islamiyyah haruslah mengetahui bahawa kemuliaan hanya akan dapat dikembalikan apabila ummat Islam kembali kepada Islam dan Iman yang sebenar , sepertimana kata-kata Saidina Ummar Al-Khattab :
(( نحن قوم أعزنا الله با الإسلام ، فمهما ابتغينا العز في غيره أذلنا الله))
“ Kita adalah kaum / ummah yang dimuliakan Allah dengan Islam , maka apabila kita mengharapkan kemulian selain daripadanya , kita akan dihinakan oleh Allah” –Tarikh khulafa’ Ar-Rasyidin- Dr. Al-Kholidy-
Islam yang sebenar ialah, Islam yang tidak hanya tertegak pada aspek dan syiar-syiar ibadat (Ritual & Worship) semata, juga tidak tertegak dengan sistem politik, ekonomi dan sosial semata-mata sepertimana fahaman golongan sekular,ahli-ahli sufi serta pengikut mereka yang hanya membataskan Islam dalam ruang lingkup spiritual (Ritual & Worship) semata-mata, tidak ada hubungannya dengan politik ,ekonomi ,sosial dan semua aspek kehidupan . Tasawwur serta perspektif yang bersimpang dengan ajaran Islam serta pemikiran-pemikiran jahiliyyah sebegini merupakan faktor utama kelemahan serta penyelewengan ummat Islam kini….. . Oleh itu, dengan apakah Islam akan tertegak ? … …. …. … ?
Rasulullah SAW bersabda kepada Qabilah Bani Syaiban bin Tha’labah ketika memperkenalkan diri baginda dalam berdakwah kepada qabilah-qabilah di Mekah maksudnya :
(( ما أسأتم الرد إذا أفصحتم بالصدق، إنه لا يقوم بهذا الدين إلا من أحاطه من جميع جوانبه))
“ Kamu tidak menolak secara jahat jika kamu menyatakan kebenaran . Sesungguhnya agama ini tidak akan ditegakkan melainkan oleh orang yang meliputinya dari segenap sudut ” – Sirah Nabawiyyah : Ibn Kathir –
Inilah hakikat Islam yang sebenar, Islam yang datang dengan risalah-Nya yang Aalamiyyah(Universal) dan unik, sistem pensyariatan yang dinamik , serta method tasawwur(Perspective) yang syamil(Comprehensive) sepertimana benarnya dan murninya para-para Sahabat dan Salafussoleh menyikapinya. Islam sesekali tidak dapat menerima aspek yang bersifat juz’iyyah(Serpihan) yang hanya menumpukan kepada satu sudut tertentu sahaja. Oleh itu Islam ialah satu sistem yang syumul(Comprehensive) yang merangkumi: (Negara dan watan atau pemerintah dan ummat. Akhlak dan kekuatan atau rahmat dan keadilan. Kebudayaan dan undang-undang atau ilmu dan kehakiman. Material dan harta benda atau usaha dan kekayaan. Jihad dan dakwah atau tentera dan fikrah . Sebagaimana ia juga adalah aqidah yang benar dan ibadat yang sah) – Usul 20 -
Pada hakikatnya perbuatan menjuzu’kan(memisah-misahkan) ajaran Islam adalah satu jenayah dan pengkhianatan(Infidelity) terkutuk yang dilakukan keatas Islam (Syari’at Allah). Allah menghendakinya sempurna dan telah memilih Nabi Muhammad SAW sebagai penyempurna dan seterusnya untuk melaksanakannya dengan penuh sempurna. Benarlah sepertimana Allah SWT berfirman :
(( .... اليوم أكملت لكم دينكم وأتممت عليكم نعمتي ورضيت لكم الإسلام دينا.....))
“ ……pada hari ini telah aku sempurnakan untuk kamu Deen ( agama) kamu dan telah Aku sempurnakan ni’matKu ke atasmu dan telah aku redhai untuk kamu Islam itu sebagai Deen” (Al-Maidah : 3)
Dan ini pula ayat Al-quran yang mengecam Bani Israel yang melakukan perbuatan memisah-misahkan sepertimana firman Allah SWT :
(( ...أفتؤمنون ببعض الكتاب وتكفرون بعض ، فما جزاء من يفعل ذلك منكم إلا خزى في الحياة الدنيا ، ويوم القيامة يردون إلي أشد العذاب...))
“Sesudah itu maka patutkah kamu hanya percaya kepada sebahagian (dari isi) Kitab Taurat dan mengingkari akan sebahagian yang lain? Maka tiadalah balasan bagi orang yang berbuat demikian itu dari antara kamu, selain dari kehinaan ketika hidup di dunia, dan pada hari kiamat akan ditolak mereka ke dalam azab seksa yang amat berat.” (Al-Baqarah : 85)
Firman Allah SWT :
(( يا أيها الذين ءامنوا ادخلوا في السلم كآفة ولا تتبع خطوات الشيطان إنه لكم عدو مبين ))
“ Wahai orang-orang yang beriman !! Masuklah ke dalam Islam secara keseluruhannya, dan janganlah kamu ikuti langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya ia adalah musuh yang nyata bagimu” (Al-Baqarah : 208)
Beginilah kita melihat tentang kesyumulan makna Islam. Jikalau orang lain hanya menumpukan kepada satu sudut sahaja, maka kita pula menumpukan kepada kesemua sudut ini dan mengetahui bahawa itu semua adalah daripada tuntutan-tuntutan Islam. Namun, disana terdapat satu persoalan pentng yang harus diutarakan iaitu “Adakah cukup dengan kita hanya mengakui tentang kesyumulan Islam tanpa beramal denganNya ?” …….. …… ……. ?
Setiap orang yang melihat kepada petunjuk Rasulullah SAW dan sirah Salafussoleh, akan dapati bahawa mereka beriman dengan kesyumulan Islam dan mempraktikkannya, bahkan mereka menjadikan Islam sebagai Manhaj kehidupan(Way of life) yang merangkumi segenap aspek kehidupan di dunia dan akhirat. Mereka mengambil wasilah-wasilah(Ways) yang terdaya untuk mengubah kefahaman ini kepada Waqi’e Amaliyyah ( Factually & Actually) atau realiti yang amali, yang mempunyai keperibadian, bukannya terbatas kepada serban di atas kepala dan iman yang tersembunyi di dalam hati .
Inilah Hakikat Niha’iyyah (Ultimate Realities) kepada makna Iman yang benar iaitu : " ما وقر في القلب وصدقه العمل "
- Apa yang diikrarkan di dalam hati dan di benarkannya dengan amal-
Hakikatnya Allah SWT tidaklah hanya meminta kepada manusia beriman kepadanya semata-mata , tetapi sesungguhnya Allah SWT menginginkan ke-Imanan yang berada di dalam lubuk hati manusia memancarkan cahaya Amaliyyah (Practical) dalam kehidupan sehariannya. Disana terdapat banyak sekali Kalamullah(Word of God) di dalam Al-quran yang menerangkan tentang Iman dan amal soleh serta kaitannya. Firman Allah SWT :
(( ويبشر المؤمنين الذين يعملون الصالحات أن لهم أجرا حسنا ،ماكثين فيه أبدا ))
“……dan memberi berita gembira kepada orang-orang yang beriman yang mengerjakan amal-amal soleh, bahawa mereka akan beroleh balasan yang baik. Mereka tinggal tetap dalam (balasan yang baik) itu selama-lamanya.” (Al-Kahf : 2-3)
(( إن هذا القران يهدي للتي هي أقوم ويبشر المؤمنين الذين يعملون الصالحات أن لهم أجرا كيرا))
“Sesungguhnya Al-Quran ini memberi petunjuk ke jalan yang amat betul (agama Islam), dan memberikan berita yang mengembirakan orang-orang yang beriman yang mengerjakan amal-amal soleh, bahawa mereka beroleh pahala yang besar.(Al-Isra’: 9)
(( فمن كان يرجو لقاء ربه فليعمل عملا صالحا ولا يشرك بعبادة ربه أحدا ))
“Oleh itu, sesiapa yang percaya dan berharap akan pertemuan dengan Tuhannya, hendaklah ia mengerjakan amal yang soleh dan janganlah ia mempersekutukan sesiapapun dalam ibadatnya kepada Tuhannya". (Al-Kahf : 110)
وما أموالكم ولا أولادكم بالتي تقربكم عندنا زلفي إلا من آمن وعمل صالحا فأولئك لهم جزاء الضعف بما عملوا وهم في الغرفات آمنون
“Dan bukanlah harta benda kamu dan tidak juga anak pinak kamu yang mendampingkan kamu di sisi Kami walau sedikitpun, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, maka mereka itu akan beroleh balasan yang berlipat ganda disebabkan apa yang mereka telah kerjakan; dan mereka pula ditempatkan dalam mahligai-mahligai (di Syurga) dengan aman sentosa.” ( As-Saba’ 37)
Keimanan atau aqidah yang benar beserta tasawwur yang murni terhadap Islam akan membuahkan amal-amal ibadah yang sah (Sohihul Ibadah) yg mencangkupi seluruh aspek kehidupan serta dapat mewarnai kehidupan dengan akhlak yang terpuji (Matinul Khuluq) sesuai dengan tuntutan-tuntutan syariat . Sebagai satu contoh dekat yang dapat dilihat ialah , kadang kita dapat melihat seorang Akh muslim berada di mihrab dalam keadaan penuh khusyu’, tekun, menangis dan merendah diri. Tidak lama kemudian kita melihat beliau adalah seorang penceramah yang menyampaikan pengajaran dan peringatan yang mengetuk hati dan sanubari. Selepas itu kita melihat beliau adalah seorang ahli sukan yang tangkas, membaling bola, berlari atau berenang. Selang beberapa ketika beliau berada di kedai atau pejabatnya melaksanakan pekerjaan dengan penuh amanah dan ikhlas.
Gambaran-gambaran sebegini secara zahirnya dilihat oleh kebanyakan orang sebagai bertentangan , tidak boleh bergabung di antara satu sama lain. Inilah beberapa hakikat yang diseru oleh Islam . Inilah dakwah yang dibawa oleh Muhammad SAW dengan melaksanakannya dalam kehidupan yang realiti, bukanlah khayalan-khayalan(Utopia) ahli-ahli falsafah serta angan-angan orang tolol yang tertipu dengan kehidupan duniawi.
(muslim.milenium@gmail.com) 11.45pm -15/06/08
Sanaa’ Republic of Yamen
Rujukan :
- Majmuah Rasa'il (Hassan Al-Banna)
- Tarikh Khulafa Ar-rasyidin (Dr Muhammad As-Solaby)
- Al-Uulamah Wal Islam (Muhmd Qutb)
- Nazaraat Fi Risalah Ta'lim (Dr Muhammad Abdullah Al-Khatib)
- Ila Ayyi syai'in Yad'uu Islam (Sayyid Abu A'la Al-Maududi)
- Abjadiyyat Fi Tasawwur Haraki lim Amal Islami (Fathy Yakan)
1 comment:
salaam...
post yg baik.. sy dah baca dah... memang suka baca buku eh... banyaknya rujukan... apepun point tu yang penting kan... all de best 4 everything... salaam
Post a Comment