Saturday, January 31, 2009

Berbakti Kepada Ibu & Bapa !!!!



Berbakti kepada ibu & bapa itu merupakan kewajipan :

Ikhwah & akhawat yang dikasihi Allah,

Dalam meneruskan perjuangan dakwah dan tarbiyyah yang kita imani dengan penuh keyakinan dan thabat, dengan meyakini bahawa dakwah itu merupakan satu Fardiyah At-taklif (Kewajipan peribadi ) khususnya kepada orang-orang beriman dan kepada seluruh umat Islam secara Am-nya . Namun disana terdapat hakikat syar’i yang tidak kurang pentingnya yang pasti sudah diketahui oleh seluruh ikhwah aktivis Islam tanpa kecuali, iaitu berbakti kepada ibu & bapa juga merupakan kewajipan agama terpenting dan menderhaka kepada keduanya merupakan antara dosa-dosa besar (Al-Kabaa’ir) .





Realitinya , disana masih ada kedengaran suara-suara sumbang menceritakan bahawa ada sebahagian daripada aktivis-aktivis tidak menunaikan kewajipan ini dalam keadaan mereka amat aktif berdakwah. Mereka bukan saja tidak berbuat baik kepada orang tuanya malah tidak berlaku adil kepada keduanya. Kadang ada aktivis berkata kasar kepada ibu dan ayahnya dan meninggikan suara hanya kerana beberapa perkara kecil , atau tidak taat kepadanya dalam hal-hal wajib dan mubah . Ada juga dikalangan mereka mengumpat , dan mencela orang tuanya dikhalayak aktivis-aktivis lain hanya kerana beberapa perselisihan pendapat terhadap perkara-perkara furu’ dan ijtihadi ulama’.

Ikhwah & akhawat aktivis sekalian ,

Risalah ini merupakan risalah yang khusus untuk para aktivis dakwah yang telah lama berjuang di jalan dakwah ini dan khas kepada ikhwah & akhawat seperjuangan. Suka untuk saya katakan , sesungguhnya berbakti kepada orang tua itu merupakan kewajipan agama , seperti halnya kewajipan berdakwah , amr makruf nahi munkar, jihad dan solat .Menderhaka kepada orang tua pula merupakan dosa besar , lebih besar dosanya dari dosa zina, mencuri, dan dosa-dosa besar lainnya.

Nash-nash berkaitan :

Islam telah mengangkat martabat ibu & ayah kepada martabat yang tidak dijangkau oleh kemanusiaan kecuali apa yang telah ditetapkan oleh agama Islam , dengan meletak dan menjadikan ihsan dan berbakti kepada keduanya pada peringkat selepas peringkat keimanan dan penghambaan kepada Allah ( Ubudiyyah ).

Firman Allah SWT :

وقضى ربك ألا تعبدوا إلا إياه وبالوالدين احسانا
“ Dan tuhan-mu telah memerintahkan supaya kalian jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kalian berbuat baik kepada ibu bapa kalian dengan sebaik-baiknya”.
( Al-isra’ : 23)

...فلا تقل لهما أف ولا تنهرهما وقل لهما قولا كريما
Maka sekali-kali janganlah kamu mengatakan kepada keduanya perkataan "ah" dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia *mengucapkan kata ah kepada orang tua tidak dibolehkan oleh agama apalagi mengucapkan kata-kata atau memperlakukan mereka dengan lebih kasar daripada itu.

Amalan-amalan fardhu tidak diterima kepada penderhaka :

Diriwayatkan daripada Amru bin Murroh al-Juhani RA berkata : (Telah datang seorang lelaki kepada Rasulullah SAW maka dia pun berkata “ Wahai Rasulullah ! Aku telah bersaksi bahasanya tiada tuhan selain Allah dan sesungguhnya kamu merupakan utusan Allah , aku telah menunaikan solat lima waktu, aku telah membayar zakat terhadap hartaku, dan aku telah berpuasa Ramadhan , maka apakah ganjaran pahalanya ?” Maka berkata Rasulullah SAW :”Barang siapa yang mati dalam keadaanya yang sebegini, maka ia akan bersama dengan para nabi, siddiqin ,dan syuhada, kelak di hari kiamat seperti ini” … kemudian beliau mengangkat kedua jarinya dan berkata “ selagimana ia tidak menderhaka kepada kedua orang tuanya”)
(Hadith riwayat Ahmad & Tibrani )

Keredhaan Allah terletak pada redha ibu & ayah :

Rasulullah SAW bersabda :

رضى الله في رضى الوالدين وسخط الله في سخط الوالدين
(Keredhaan Allah terletak pada keredhaan ibu & ayah, dan kemurkaan Allah terletak pada kemurkaan ibu dan ayah )
– Riwayat Bukhori ,Tarmidzi dan Ibnu hibban -

Sepertimana perkataan masyhur yang selalu ikhwah & akhawat dengar iaitu “ Syurga dibawah telapak kaki ibu” …
الجنة تحت أقدام الأمهات
merupakan lafaz yang masyhur dikalangan kita , tetapi lafaz yang lebih tepat, daripada hadith Rasulullah SAW :
( الزمها فإن الجنة عند قدميها )
“ Lazimkanlah ia (melazimi berbakti kpd ibu) kerana sesungguhnya syurga itu dibawah telapak kakinya”
- Riwayat Nasa’i , Ahmad, & Ibn Majah-

Kemurkaan Allah dan hukuman-Nya yang segera kepada Penderhaka:

Diriwayatkan daripada Abi Bakrah RA, daripada Nabi SAW bersabda : “ Semua dosa ditangguhkannya ( Azab) mengikut kehendak Allah sehingga hari kiamat, kecuali penderhaka kepada orang tuanya , sesungguhnya Allah mempercepatkan azab kepada tuannya (penderhaka) dimasa hidup sebelum mati” -Diriwayatkan oleh Al-Hakim ( Isnad-nya Sohih) –
Berbakti kepada ibu & ayah merupakan antara amalan yang dicintai Allah:

Diriwayatkan oleh Syaikhaan (Bukhari&Muslim) secara marfu’ : Abdullah bin Mas’ud RA berkata “ Wahai Rasulullah !! Apakah amalan yang amat dicintai oleh Allah ? Nabi pun bersabda “ Solat pada waktunya” Abdullah berkata lagi “ Apa lagi?” Nabi pun bersabda “ Berbakti kepada ibu & ayah”

Ikhwah & akhawat yang dikasihi Allah ,

Menurut pengalaman para Duaat (pendakwah) didalam kehidupan ini, kita mendapati orang-orang yang menderhaka kepada ibu dan ayahnya itu tidak bertahan lama di atas kebenaran dan hanya melangkah beberapa langkah di salah satu gerakan dakwah . Tidak lama setelah itu , dia tergoda oleh dunia dan berjalan terlalu jauh dari dunia dakwah. Boleh jadi penyebabnya Wallahu A’lam ,bahawa barangsiapa yang menderhaka dan tidak mempunyai kebaikan pada kedua orang tuanya itu ,ia tidak mempunyai kebaikan pada Islam dan gerakan dakwah. Da’ie dan para qiadah (ketua) dalam gerakan dakwah kini harus bertanya kepada aktivis-aktivis yang berada dibawah mereka tentang hubungan mereka dengan orang tua dan keluarga mereka , dengan mempraktikkan firman Allah SWT :
وبالوالدين احسانا
“dan hendaklah kalian berbuat baik kepada ibu bapa kalian dengan sebaik-baiknya”.

Ini kerana , jika kemaksiatan yang disebabkan oleh penderhaka ibu & bapa itu tersebar luas serta memjadi penyebab keruntuhan dan kelembapan gerakan dakwah secara keseluruhannya , maka ia mengundang dan menjadi pemicu kemurkaan Allah SWT dan azab-Nya . Naauzubillahi min Dzaalik

Rujukan :

سميرالمؤمنين - محمد الحجار-
شخصية المسلم - د.محمد علي الهاشمي-
رسالة إلي كل من يعمل للإسلام - د.ناجح إبراهيم -

2 comments:

::Damia:: said...

Jazakallah khair..
artikel yg sgt b'manfaat..


Hmm..
mintak izin utk copy ye,
nak bg kat adik2..
jzkk..


[0_o]

muslim_milenium said...

...OK..no hal..boleh aja,...moga bermanfaat bagi yang lain...moga Istiqamah...insyaAllah.....