Friday, July 31, 2009

Antara Islam & Fikrah Islamiyyah ( Kajian Ringkas dan Rumusan )


Ikhwah & akhawat yang dikasihi Allah,

Akal adalah nikmat Allah yang paling besar kepada manusia, dengan akallah manusia dapat mengerti, memikir, membeza, memahami, membuat kesimpulan , mencipta , dan lain-lain. Dengan akallah meningginya darjat manusia disebabkan oleh sifat kemanusiaan, ilmu dan fikirannya. Ibnu Khaldun mengatakan “ Ketahuilah bahawa Allah Swt membezakan manusia kerana kesanggupannya berfikir, yang merupakan sumber dan puncak segala kemulian dan ketinggian di atas makhluk lain. Penyebabnya adalah adanya pengertian ( Idraak’) yaitu kesedaran dalam diri tentang hal yang terjadi di luar dirinya ….. ..”

Sesuai dengan potensi yang telah Allah berikan kepada manusia , maka secara logiknya manusia haruslah memanfaatkan dan menggunakannya semaksima mungkin demi kemaslahatan dunia dan akhirat.InsyaAllah, dengan rendah diri dan tawadu’ pena merasakan disana terdapat pengetahuan asas yang tidak kurang pentingnya yang seharusnya diketahui dan difahami secara mendalam oleh para aktivis dakwah secara khususnya dalam memperbetulkan kembali kefahaman mereka iaitu “apakah yang dimaksudkan dengan fikrah islamiyyah? …Apakah perbezaan diantara Islam dan fikrah Islamiyyah ? ..Adakah disana terdapat perbezaan diantara keduanya? Atau …….dll….


Ikhwah & akhwat yang dirahmati,

InsyaAllah , secara ringkas dan padat pena akan cuba mengutarakan beberapa takrif dan pengertian terhadap tajuk yang akan kita kupas bersumberkan kepada pandangan-pandangan para ulama’ fiqh & dakwah kontemporari. Perkataan “Fikrah” merupakan perkataan yang tidak asing lagi bagi para aktivis kini , malah ia merupakan perkataan yang sering digunakan oleh para aktivis. Tetapi masalahnya ialah, sejauh-manakah para aktivis memahami dan mengetahui makna tersurat dan tersirat terhadap perkataan tersebut. Hakikatnya , berkemungkinan disana ada mempunyai perbezaan tahap pengetahuan aktivis terhadap perkataan tersebut, malah kenyataanya ada juga diantara aktivis yang tersalah faham dalam mentafsir serta menyikapi perkataan tersebut.(Fikrah)

Takrif ringkas :

(Fikr) : Terdiri daripada huruf-huruf fa’, kaf, dan ra’ dalam bentuk fi’il (kata kerja): fakara ~ yafkiru, ertinya “ Menggunakan akal untuk sesuatu yang diketahui, untuk mengungkapkan sesuatu perkara yang tidak diketahui.”
Dari perkataan fikr lahirnya tafkir yang membawa maksud “Mengfungsikan akal dalam sesuatu masalah untuk mendapatkan penyelesaiannya” - ( Al-Mu’jam Al-Wasiith, Al-Qamus Al-Muhit ) –


Ibnu Khaldun mengatakan “ Berfikir atau Fikr ialah gambaran bayang-bayang yang telah diindra – di balik perasaan- dan aplikasi akal di dalamnya untuk membuat analisis dan sintesis (proses menyatukan pelbagai unsur /cara mencari prinsip yg umum drpd prinsip-prinsip yang khusus).” – ( Muqaddimah Ibn Khaldun ) –

Menurut Imam Al-Ghazali dalam kitabnya Ihya’ beliau mengatakan : “ Ketahuilah, berfikir itu ialah menghadirkan dua makrifat (pengetahuan) di dalam hati , yang dari keduanya lahirlah pengetahuan yang ketiga” – (Ihya Ulumuddin) –


Pengertian Fikrah Islamiyyah :

Sepertimana yang diketahui di atas bahawa istilah( fikr ) ialah menggunakan akal terhadap sesuatu perkara serta mengfungsikannya, tetapi apabila perkataan fikr diikat dan disandarkan dengan perkataan Islam ,maka ia bermaksud “ Penggunaan / fungsi akal seorang muslim dalam mentafsir /menggambarkan Islam ,yang bersumberkan kepada Al-quran dan Sunnah, …. Pandangan yang dikeluarkan oleh akal seorang muslim yang seterusnya membawa kepada makna “Fikrah Islamiyyah”.

Secara ringkasnya boleh juga dikatakan “Kefahaman ummat Islam serta pemerahan pemikiran mereka terhadap risalah-nya (Islam)” – ( Tajdid Fikr Islamiy Dr Muhsin Abd Hamid)-

Perbezaan antara Islam dan Fikrah Islamiyyah :

Daripada pentakrifan di atas kita dapat mengetahui bahawa pengertian Fikrah Islamiyyah adalah berbeza dengan pengertian Islam itu sendiri. Islam yang merupakan agama yang bercirikan thabat (tetap) dan syumul (menyeluruh) berbeza sama sekali dengan Fikrah Islamiyyah yang bersifat harakah (bergerak/tidak tetap).

As-Syeikh Muhammad Al-Ghazali rahimahullah dalam kitabnya “ Laisa Minal Islam” mengatakan :
“Sesungguhnya Fikrah Islamiyyah bukanlah Islam , tetapi ia merupakan ciptaan akal/ ijtihad muslimin pada jalan Islam. Islam pula merupakan wahyu ilahi yang bersifat ma’sum ( aman dari kesalahan ) kepada Rasulullah, dan Fikrah Islamiyyah pula perkara yang diadakan /dicipta, tertunduk kepada kanun perubahan , manakala Islam pula bagi-nya kitab :

لا يأتيه الباطل من بين يديه ولا من خلفه تنزيل من حكيم حميد
“Yang tidak datang kepadanya kebatilan baik dari depan maupun dari belakangnya, yang diturunkan dari Rabb yang Maha Bijaksana lagi Maha Terpuji.”
(Fussilat : 42 )

Fikrah Islamiyyah tidaklah ma’sum daripada kesalahan dan kelemahan, manakala Islam pula bersifat ma’sum (aman dari kesalahan,kecacatan,& kelemahan) secara keseluruhannya . Kitab Islam (al-quran) baginya segala kesucian dan baginya hak ketaatan secara mutlak terhadap orang-orang beriman ,manakala Fikrah Islamiyyah pula tidaklah diwajibkan taat kepadanya kecuali apa yg bertepatan dengan al-quran dan sunnah (risalah) . Ini kerana Fikrah Islamiyyah tertunduk kepada kritikan dan bangkangan. Perbezaan diantara Islam dan Fikr Islamiyyah adalah sepertimana berbezanya apa yg ada pada Allah, dan apa yang ada pada manusia ………”

Sepertimana kata-kata Imam As-Syahid Hassan Al-Banna dalam usul 20-nya :

Usul ke-2 :
- Bagi seorang Muslim, Al-Quran dan hadis adalah menjadi sumber untuk mengetahui hukum-hukum Islam. Al-Quran difahami menurut kaedah-kaedah bahasa Arab, dengan tidak memberat dan meringankan. Hadis pula difahami melalui periwayat-periwayat hadis yang dipercayai.

Usul ke-6 :
- Perkataan seseorang boleh diterima atau ditolak, kecuali perkataan Rasulullah (s.a.w) yang bersifat maksum. Perkataan para solihin yang dahulu (salaf soleh) mesti kita terima jika bersesuaian dengan Al-Quran dan hadith. Jika tidak, maka Al-Quran dan Hadithlah ikutan kita yang utama,

Usul ke-18 :
- Islam membebaskan akal, mendorong supaya memerhati dan mengamati alam semesta. Islam menjunjung tinggi kedudukan ilmu dan ulama’. Mengalu-alukan sesuatu yang baik dan bermanfaat. Hikmah adalah merupakan suatu barang yang hilang dari seorang mukmin, di mana saja beliau mendapatinya beliaulah yang lebih berhak memilikinya.

Satu contoh ringkas yang dapat dilihat di medan dakwah kini ialah wujudnya pelbagai method , fikrah , dan pendekatan seperti disana para aktivis dapat menemui ada dikalangan aktivis yang berfikrah Salafi , Ikhwani, Tabligi, Hizb Tahrir ,dan lain-lain mengikut kecendrungan masing-masing kepada method pendekatan tertentu dalam berdakwah yang menunjukan kepada tabiat Fikrah Islamiyyah yang berbeza dan bergerak dalam lingkungan berpegang kepada Al-quran dan Sunnah .

Ikhwah & akhawat sekalian,

Kesimpulannya ialah makna Fikrah Islamiyyah berbeza sama sekali dengan makna Islam itu sendiri, dari segi usulnya yang merangkumi Al-Quran dan Sunnah yang sohih. Para aktivis seharusnya memahami serta dapat membezakan diantara keduanya supaya kefahamnya tidak tercampur-baur yang seterusnya membawa kepada pertembungan akal manusia terhadap wahyu ilahi.



Wallahu A’lam Bissowab ……

Rujukan Asas :

ليس من الإسلام - شيخ محمد الغزالي
نظرات في رسالة التعليم ـ محمد عبد الله الخطيب
التجديد في الفكر الإسلامى المعاصر - د.محمود عبد الله بكار



No comments: