Saturday, July 4, 2009

Antara Wasail dan Maqasid - Perbincangan , Kritikan & Rumusan -


…Pena amat terkejut apabila terbaca satu artikel di dalam sebuah blog yang ditulis oleh seorang pelajar Malaysia di mesir yang kononnya mewakili sebuah persatuan yang terbesar disana iaitu PMRAM secara khususnya dan mewakili parti politik Islam (PAS) secara umumnya. Beliau , pada pandangan pena secara zahirnya mempunyai niat yang baik, dan soleh dalam bercakap tentang kepentingan kesatuan Ummah Islamiyyah dan perpaduan, namun disana ada beberapa perkara dinyatakan beliau bagi pandangan pena merupakan kenyataan yang kurang tepat dan kurang adil dalam bercakap tentang kesatuan Ummah dan kepelbagaian Jamaah .

Beliau dengan senang sekali menghujam jemaah-jemaah Islam yang lain seperti JIM, ISMA, ABIM dan lain-lain walaupun pada artikel beliau, beliau menyatakan bahawa artikel yang ditulis beliau bukan untuk menghujum mana-mana jamaah , dengan berkata :

“Artikel ini bukan untuk menghujum mana-mana jemaah baik dari JIM, ABIM, ISMA, NADI UMNO dan Agen-Agen tertentu. Artikel ini merupakan kewajipan setiap muslim memperbetulkan kesilapan dan mengubah perkara-perkara jahat dan mungkar sebagaimana sabda Nabi s.a.w di atas. Ia merupakan kewajipan dan satu tuntutan agar umat Islam mesti bersatu padu.”

Beliau dengan berani dan yakin mengatakan bahawa jemaah-jemaah di atas mengutamakan matlamat dan halatuju mereka dengan mengambil pendekatan ta'adud tudhod dan tanaqud (berlawanan dan bertentangan).

Disini pena ingin menyoal “ Apakah yang dimaksudkan dengan ta’adud tudhod dan tanaqud itu ?” .. Sekiranya jamaah-jamaah diatas telah melakukan ta’adud tudhod sila nyatakan apakah yang telah mereka lakukan.? .. Adakah mereka mengajak kepada selain daripada Islam? Atau hanya berlakunya perbezaan dari segi uslub dan pendekatan dalam berdakwah kepada Islam?

Hakikatnya , berkemungkinan beliau tidak dapat membezakan diantara wasilah dan maqasid atau beliau kurang bijak dalam berinteraksi dengan kepelbagaian dakwah dan jamaah . Sekiranya perbezaan berlaku pada pendekatan, uslub, atau wasail, itu merupakan perkara yang fitrah , normal dan biasa bagi sifat-sifat manusiawi yang berbagai yang dikira sebagai ta’adud tanawwu’ ( pelbagai) dan bukan ta’adud tudhod sepertimana yang dimaksudkan oleh beliau. Perbezaan pendapat merupakan fitrah manusia , dalam menentukan sesuatu perkara. Diantara sebab lahirnya kepelbagaian dakwah & jamaah ialah :




- Perbezaan & kepelbagaian dalam memahami nash-nash ,dan pelbagainya ijtihad-ijtihad dalam mentafsir sesuatu nash-nash yang boleh berijtihad padanya ( bersifat dzonni) serta cara bertindak dengannya pada waki’e terkini.




- Hilangnya / terhapusnya sistem khilafah Islamiyyah yang menyatukan segala sumber kekuatan ummah, yang menyatukan saf-saf. Dengan sebab inilah terbuka dan terbentangnya majal (ruang) dihadapan ummah Islamiyyah bangun menutup lubang-lubang kecacatan yang terjadi disebabkan hilangnya sistem khilafah.




- Wujudnya kepelbagaian dalam manhaj-manhaj, uslub-uslub serta pendekatan dalam berdakwah.




- Berbezanya ijtihad-ijtihad/pandangan dalam menentukan priority sesuatu perkara , priority di sesuatu tempat dll.




- Pelbagai serta berbezanya kemampuan-kemampuan aktivis-aktivis dalam medan dakwah.


InsyaAllah disini pena akan mengemukakan beberapa kaedah dalam mewujudkan kembali kesatuan Ummah Islamiyyah serta perpaduan Imaniyyah daripada beberapa ulama’ kontemporari , diantaranya :

وحدة الصف لا وحدة الرأى *
( Kesatuan dalam satu barisan/ saf-saf, dan bukan kesatuan pandangan dan pemikiran)

Ini merupakan satu hakikat yang jelas pada setiap jiwa-jiwa yang muslim . Tapi masalahnya ialah cara beramal atau cara mengimplikasikannya. Kita dapat melihat disana terdapat beberapa peribadi yang terlalu ghairah terhadap agama, dan amat bersemangat dalam isu perpaduan/ kesatuan, tetapi mereka tidak mempunyai method atau cara yang betul dalam mengajak kepada kesatuan/perpaduan. Akibatnya , beliau secara sedar atau tidak menginginkan manusia supaya bersatu dibawah perkiraannya, pendapatnya, pilihannya dan ijtihadnya. Ini merupakan perkara yang tidak akan berlaku atau diistilahkan ulama’sebagai perkara yang mu’tadzir. Yang dimaksudkan dengan persatuan/perpaduan dalam saf atau barisan ialah , kesatuan Ummah Islamiyyah di bawah kekuasaan yang satu yang berhukum dengan syariat Allah SWT, berdiri dalam satu sof pada setiap perkara yang mengembalikan ketuanan Islam, aqidah Islamiyyah dan keizzahan Ummah.Maka kesatuan/perpaduan Ummah adalah pada usul syar’iyyah yang sahih, bukan persatuan/perpaduan pada sesuatu pemikiran, ijtihad yang khusus daripada seseorang peribadi atau mana-mana kelompok.

* الإجتمع لا يكون إلا علي قبول الإختلاف
( Kesatuan tidak akan wujud / tidak akan berlaku, kecuali dengan menerima perbezaan pendapat)

Sehingga dalam institusi keluarga pun berlakunya perbezaan pendapat diantara suami istri dan anak-anak . Cubalah ikhwah dan akhawat bayangkan apabila berada dalam satu institusi jamaah yang lebih besar !!!!

الخلاف وارد في الوسائل دون المقاصد *
( Perkara yang boleh dikhilafkan /berbeza hanya pada wasail (cara, uslub & pendekatan) bukan pada maqasid ( objektif asas dan usul ) .

Sepertimana yang ikhwah & akhawat ketahui , bahawa berdakwah kepada Allah merupakan daripada maqasid Syar’iyyah (objektif Syara’) yang disepakat padanya. Ummah Islamiyyah bersepakat terhadap kewajipannya dan diantara kandungannya Fardu Ain & Fardu Kifayah .

إختلاف تنوع ، لا إختلاف تضاد *
( Perbezaan yang pelbagai (lengkap- melengkapi) bukannya perbezaan berlawanan dan bertentangan )

Perbezaan yang diharuskan dan boleh di-ikhtilafkan ialah ikhtilaf tanawwu (pelbagai/lengkap-melengkapi) . Disana terdapat fardu-fardu kifayah , ada kelompok yang berdakwah kepada Allah dalam menyampaikan risalah Islam di medan politik, ada pula kelompok yang lain yang menyeru kepada makruf dan mencegah kemungkaran di medan pendidikan , ada pula yang berdakwah di medan iqtisad (ekonomi), ada pula kelompok yang Allah pilih dan menggunakan mereka untuk berjihad mengorbankan nyawa mereka kepada Allah SWT.

Syariah dan agama tidak terkumpul & tersimpul pada seseorang peribadi. Ia semestinya merangkumi dan terkumpul pada ummah Islamiyyah secara keseluruhannya. Kefahaman serta ijtihad-ijtihad seseorang bukanlah wahyu, madrasah-madrasah fiqhiyyah atau harakiyyah tidaklah menggambarkan Islam secara keseluruhannya. Sepertimana kita juga harus mengetahui tentang kesyumulan agama Islam bukanlah bermakna kesyumulan seseorang peribadi muslim.

Hakikatnya , sering kita terdengar ada beberapa kelompok , jamaah atau parti-parti politik yang membawa logo serta motto Islam mengklaim jamaah atau parti mereka menggambarkan Islam secara keseluruhannya, jamaah yang selain daripada jamaah-nya merupakan jamaah yang melawan Islam. Naudzubillahi min dzaalik !!!!!

Satu contoh yang amat mudah ialah didalam madrasah mazhab fiqhiyyah : Imam Malik, Imam Syafi’e, Imam Ahmad , Imam Abu Hanifah, dan lain-lain terhasil daripada ijtihad-ijtihad tertentu yang tersandar kepada al-ashl ( Al-quran & Sunnah). Tetapi ada dikalangan mereka yang tersalah , dan ada yang betul dalam berijtihad. Taa’sub merupakan satu perkara yang hina dalam menerima sesuatu perkara daripada seseorang atau jamaah, menerima baik buruknya kerana kita suka kepadanya, atau kita akan cuba mempertahankannya walaupun salah kerana kita terlalu menyukainya.

جماعة من المسلمين لا جماعة المسلمين *
( Jamaah daripada Muslimin, bukan Jamaah Muslimin )

Al-Imam Ad-Daie Dr Fathy Yakan Rahimahullah dalam kitabnya Nahwa Shohwah Islamiyyah Fi Mustawa Al-Asr نحو صحوة إسلامية في مستوى العصر
amat tegas sekali dalam mengislah permasalahan dakwah dan harakah yang membawa kepada kesalahan, kelembapan serta pertembungan didalam medan dakwah iaitu setiap kelompok kumpulan yang mengajak kepada Islam mengklaim jamaah mereka menggambarkan Islam , dan mewakili secara keseluruhannya Jamaah Muslimin, bukan jamaah daripada Muslimin. Perkara sebegini menurut beliau akan menimbulkan kepada ghulu , tatharruf, & Istikbaar, serta setiap kumpulan jamaah akan cuba untuk menjatuhkan jamaah-jamaah yang lain.

Sepertimana yang terjadi dan dinyatakan oleh beliau ini ( Pelajar Malaysia di Mesir ) :
“Realiti ta’adud jemaah di Mesir, di sini terdapat hampir lebih 70 buah jemaah atau persatuan anak Melayu saling tidak bersatu, mementingkan pendapat dan hala tuju masing-masing. Tidak boleh bersatu dibawah satu naungan (PMRAM). Hanya beberapa buah Badan Kebajikan Anak-anak Negeri (BKAN) dan Dewan Perwakilan Mahasiswa (DPM) sahaja yang bernaung di bawah (PMRAM). Jadi dengan point-point di atas, tiada lagi alasan untuk jemaah baru seperti JIM, ABIM, ISMA, NADI UMNO dan Agen-Agen tertentu wujud dan bertapak di bumi Mesir ini. Ada yang beralasan mad’u kita ramai, sudah pasti memerlukan banyak jemaah. Ya benar, perlu kepada jemaah yang banyak. Persoalannya kenapa tidak boleh bersatu bersatu dibawah satu naungan iaitu PMRAM?”

Pena merasakan beliau ini berkemungkinan tidak dapat menerima perbezaan pendapat, atau beliau tidak dapat membezakan antara ikhtilaf (perbezaan pendapat) dan tafarruk (perpecahan) atau beliau tidak dapat membezakan antara wasail-wasail ijtihadi dan maqasid . Wallahua’lam !!!

Al-Imam As-Syafi’e rahimahullah ketika berhadapan dengan seseorang yang berbeza pendapat dengannya dalam beberapa masalah-masalah ilmiyyah fiqhiyyah beliau senang sekali mengatakan :
“ Sesungguhnya aku tidak akan berkata kepada seseorang yang berbeza pendapat dengan-ku pada masalah-masalah ilmiyyah fiqhiyyah : “ Bertaubatlah engkau kepada Allah”, ini kerana taubat itu berlaku pada perkara-perkara dosa, tapi ini adalah manusia diantara satu pahala (al-ajr) atau dua pahala (Ajraain).”
–Perkara ijtihadi –

Beliau itu ( Pelajar Malaysia di Mesir ) ada juga menyatakan bahawa :

“Apabila dipatahkan hujah mereka maka berbunyilah suara-suara yang tidak ilmiah “anda berjuanglah dengan dalil anda, kami berjuang dengan dalil kami” beginikah cara golongan intelek berdepan dengan kebenaran? Sepatutnya menerima dan berubah kearah yang lebih baik dan matang. Dasar perjuangan anda yang tertutup ini saya yakin kebenaran tidak akan datang menemui anda kerana anda menolak kebenaran. Saya berhak katakan “Hujah anda Vs Hujah Islam”.”

Beliau dengan berani dan yakin mengatakan “Hujah anda Vs Hujah Islam”. Atau beliau akan mengatakan , “beliau tidaklah mengatakan menurut pemikirannya atau pendapatnya,tetapi ini adalalah manhaj Allah SWT, & ini adalah hukum Allah SWT” .

Pena hanya dapat mengatakan “Subhanallah !!!” ketika terbaca kenyataan diatas. Adakah jamaah-jamaah yang lain mengambil hukum serta dalil-dalil daripada kitab Taurat atau kitab Injil ?!! Atau daripada kitab samawi yang lain, atau daripada falsafah-falsafah dll. Sesekalinya tidak!!!Sesekalinya tidak !!!! Semuanya mengambil dalil daripada Al-quran dan Sunnah , tetapi boleh jadi maknanya boleh ditafsirkan dengan berbagai tafsiran, ijtihad dll. (Dalil-dalil Dzanni yang membawa lebih daripada satu makna dan tafsiran) .

Al-Imam Ibn Qayyim rahimahullah berkata dalam kitabnya I’laam Muwaqq’iien :
“ Tidak harus seseorang itu ketika mana mengutarakan ijtihadnya, dan tidak mendapat apa yg dituntut oleh nash daripada Allah dan Rasulnya berkata : “ Sesungguhnya Allah mengharamkan ini, Allah mewajibkan ini, Allah mengharuskan ini, sesungguhnya ini adalah hukum Allah”

Juga sepertimana Al-Imam Ibn Taimiyyah rahimahullah berkata :
“ Tetapi kebanyakan manusia menisbatkan/menyandarkan apa yang mereka katakan kepada syara’, tetapi bukanlah daripada syara’, tetapi mereka tetap mengatakan sedemikian mungkin kerana kejahilan, mungkin juga tersalah ,mungkin juga sengaja, dan mungkin juga mempermain-mainkan syara”
– Majmu’ Fatawa -

Akibat daripada keadaan yang berlaku sebegini ialah, kebanyakan jamaah , parti, dan pribadi-pribadi senang mentafsir dan menggunakan nash-nash untuk kepentingan masing-masing serta meletakkan-nya bukan pada tempatnya. Kesemuanya menggunakan nash-nash untuk mengatakan kewajipan mengikuti jamaahnya , partinya,tandzimnya, atau kumpulannya yang khusus.

Hakikatnya , ini merupakan satu penyelewengan dalam mentafsir hadith Nabawi yang menunjukkan/menerangkan tentang menyeru ummah Islamiyyah untuk bersatu dibawah satu sulthoh (kekuasaan) yang Amm (umum) yang disepakati oleh Ummah
( Thawabit) kepada kesatuan dibawah jamaah atau kumpulan yang tidak disepakati (Ikhtilaf).

Berkemungkinan kita mempunyai perasaan tanggungjawaban yang melampaui batas, seakan-akan kitalah orang yang bertanggungjawab terhadap ummah, terhadap manusia, terhadap dakwah, terhadap ilmu, yang seterusnya membawa kita kepada terlalu mengawasi segala gerakan serta perbuatan orang lain. Lebih malang lagi , kita terlalu atau amat ghairah terhadap kesalahan-kesalahan yang dilakukan oleh selain daripada kita yang seterusnya membawa kita kepada menghujum, serta berani menghukum sesuatu pribadi atau jamaah menurut pandangan kita yang jahil, lemah dan terbatas.

نحن دعاة لا قضاة*
( Kita adalah pengajak/penyeru mendakwah , bukanlah penghukum)

Ikhwah & akhawat sekalian,

Kita hanyalah disuruh menyeru & berdakwah kepada manusia, bukan untuk menghukum mereka. Ini kerana , yang menghukum dan penghukum-Nya ialah Allah SWT.
Nabi Isa Alaihissalam berkata :

لا تكثروا الكلام بغير ذكر الله فتقسوا قلوبكم، فإن القلب القاسي بعيد من الله ، ولكن لا تعلمون ، ولا تنظروا في ذنوب الناس كأنكم أرباب ، وانظروا في ذنوبكم كأنكم عبيد ،فإنما الناس مبتلىً ومعافىً ، فارحمو أهل البلاء واحمدوا الله على العافية

“Janganlah kamu perbanyakkan bercakap selain daripada zikirullah,maka keraslah hati kamu, Sesungguhnya hati yang keras itu jauh sekali dari Allah, tetapi ramai yang tidak mengetahuinya. Janganlah kamu melihat dosa-dosa/ kesalahan manusia seperti kamu itu tuhan-tuhan, tapi lihatlah kepada dosa /kesalahan-mu seperti seorang hamba, kerana manusia ada yang diuji dan diselamatkan / diampunkan , Kasihlah kamu kepada Ahlul bala’ ( org yg ditimpa bala) dan pujilah Allah terhadap keselamatan”
- Dikeluarkan oleh Imam Malik dalam Mawatta’ -

Berkata Yahya bin Muadz :

ليكن حظ المؤمن منك ثلاث خصال : إن لم تنفعه فلا تضره ،وإن لم تسره فلا تغمه ، وإن لم تمدحه فلا تذمه
“ Jadikanlah bagi Mukmin bagi-mu tiga bahagian :Sekiranya engkau tidak memberi manfaat kepadanya, maka janganlah engkau menyakitinya/memudharatkannya, sekiranya engkau tidak membahagiakannya, maka janganlah engkau sedihkannya, dan sekiranya engkau tidak memujinya, maka janganlah engkau mencelanya”
- lihat Sifattus As-Soffwah-

Bersikap Optimis & Berfikiran Positif dalam Melaksanakan Dakwah

Kesimpulannya ialah , ikhwah & akhawat aktivis sekalian hendaklah bersikap lebih optimis dan positif dalam menangani permasalahan serta kerja-kerja dakwah kini. Kita melaksanakan dakwah dengan ikhlas kerana Allah. Dengan itu segala amal yang dilaksanakan pasti diberi ganjaran oleh Allah setimpal dengan niat kita. Maka kita hendaklah optimis terhadap ganjaran Allah.

Kita melaksanakan dakwah secara berjamaah, dengan suasana ukhuwwah , mahabbah dan kekuatan kumpulan. Walaupun kita melaksanakan dakwah melalui saluran-saluran organisasi tertentu , kita hendaklah sedar bahawa tugas-tugas ini juga sedang dilaksanakan oleh pendukung-pendukung dakwah yang lain. Sejauh mana kita yakin bahawa kita ikhlas melaksanakan dakwah , demikian juga kita mesti yakin bahawa mereka juga ikhlas berdakwah kepada Islam.

Dengan itu kita tidak bersendirian melaksanakan dakwah. Walaupun dalam wadah-wadah yang berlainan , tetapi matlamat kita adalah satu. Keyakinan bahawa aspirasi suci ini (mendaulatkan Islam) dikongsi oleh suatu bilangan pendukung dakwah yang besar sekaligus mewajibkan kita sentiasa bersifat optimis dalam menggarap segala permasalahan dakwah semasa.

Ikhwah & akhawat yg dikasihi,
Suka untuk pena tegaskan berkali-kali bahawa agama merupakan asal usul aqidah Islamiyyah tidak berbeza dan berbagai. Kebenaran ( Al-haq) dinisbatkan kepada Allah SWT merupakan kebenaran yang satu dan tidak berbagai. Namun pandangan Al-haq (kebenaran) apabila dinisbatkan kepada para mujtahidin dan manusia umum adalah berbeza dan pelbagai (betul/salah).

Akhir kalam,

Wahai jamaah-jamaah Islam, saling melengkapilah diantara satu sama lain atau tidak akan tertegak Syariah Islamiyyah didunia ini. ….. …!!!!!!!!

Wallahu A’alam Bissowab ……..

Rujukan Asas:

الأمة الواحدة د. سلمان فهد العودة
ولا يزالون مختلفين د. سلمان فهد العودة
الثوابت والمتغيرات في العمل الإسلامى المعاصر د.صلاح صاوى
التعددية الدعوية دراسة منهجية شاملة د.معاذ بن محمد أبو فتح البيانوني





4 comments:

muslim_milenium said...

Blog yang dimaksudkan :

http://iqgreen.blogspot.com/

muslim_milenium said...

Peringatan ....Moga kita bersama dapat menjaga adab sebagai seorang muslim apabila berselisih pendapat ... insyaAllah disini pena ingan mengetengahkan beberapa usul yang dapat membantu ...

daripada Usul 20 Al-Banna :

ASAS KELIMA:
Pendapat imam (ketua) dan timbalannya dalam masalah yang tidak
dinaskan atau telah dinaskan tetapi nas tersebut boleh ditafsirkan dengan
pengertian lain, demikian juga pendapatnya dalam masalah yang berhubung
dengan maslahat umum, boleh diterima dan diamalkan sekiranya pendapat
tersebut tidak bertentangan dengan kaedah syariat. Pendapat tersebut boleh jadi
berubah menurut keadaan, persekitaran dan adat.
Taabud (pengabdian) adalah menjadi asas kepada ibadat dengan tidak
melihat kepada rahsia, hikmat dan tujuan ibadat tersebut.

ASAS KEENAM:
Perkataan seseorang boleh diterima atau ditolak, kecuali perkataan
Rasulullah (s.a.w) yang bersifat maksum. Perkataan para salihin yang dahulu
(salaf soleh) mesti kita terima jika bersesuaian dengan Al-Quran dan hadith. Jika
tidak, maka Al-Quran dan Hadithlah ikutan kita yang utama, tetapi kita tidak
melemparkan kecaman dan mencacatkan seseorang dalam masalah khilafiah.
Kita serahkan mereka dengan fiat mereka masing-masing kerana mereka telah
melakukan sesuatu dengan apa yang mereka telah kemukakan.

ASAS KELAPAN:
Perselisihan pendapat dalam masalah cabang hukum fikah tidaklah
menjadi sebab perpecahan dalam agama. Ia sepatutnya tidak menjadi sebab
perbalahan dan permusuhan, kerana setiap orang yang berijtihad diganjari
pahaia. Tidakiah dilarang melakukan penyelidikan (melaui perbincangan) dalam
masalah khilafiah jika bertujuan mencapai hakikat, dengan syarat perbincangan
itu hendakiah di atas dasar mahabbah dan kasih sayang kerana Allah, serta
bekerjasama untuk mencari kebenaran dan hakikat dengan tidak membawa
kepada pertengkaran yang tercela dan taasub.

ASAS KESEMBILAN:
Membincangkan masalah yang tidak berjejak kepada kenyataan (tidak
membuahkan amal) adalah tergolong dalam perkara yang memberat-beratkan
sesuatu. Memberat-berat sesuatu masalah adalah dilarang oleh syariat. Sebagai
contoh: membincang cabangcabang hukum yang masih belum berlaku dengan
membuat andaian-andaian, membincang penafsiran ayat-ayat Al-Quran yang
belum dicapai oleh ilmu manusia, membincangkan keistimewaan-keistimewaan
para sahabat Rasulullah (s.a.w) atau membincangkan pendapat para sahabat.
Kerana para sahabat mempunyai keistimewaan sebagai seorang sahabat. Mereka
diganjari menurut fiat mereka, tambahan pula masalah taawil adalah merupakan
jalan keluar.

...Wassalam..

rossees said...

salaam,

terima kasih atas penjelasan,
sangat terperinci dan membantu...

mumarridh said...

Alhamdulillah, artikel ini sangat bagus, dapat menambahkan ilmu & menjelaskan isu kepelbagaian jema'ah